Trak bantuan mula masuk ke Gaza dari Mesir

Trak bantuan mula masuk ke Gaza dari Mesir

SUKARELAWAN Palestin mengawal trak bantuan yang memasuki Semenanjung Gaza melalui lintasan Zikim yang dikawal Israel, di barat Beit Lahia.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAHERAH: Trak bantuan mula memasuki Gaza dari Mesir hari ini, selepas Israel mengumumkan ‘jeda taktikal’ di beberapa kawasan wilayah bagi membolehkan penghantaran bekalan makanan.

Media berkaitan kerajaan Mesir sebelum ini mengesahkan pergerakan konvoi tersebut dan berkongsi rakaman trak bantuan di kawasan sempadan.

Namun, trak yang melintasi sempadan Rafah tidak dapat memasuki Gaza secara langsung kerana bahagian Palestin di lintasan itu dirampas tentera Israel tahun lalu dan mengalami kerosakan teruk.

Sebaliknya, trak bantuan terpaksa membuat lencongan beberapa kilometer ke lintasan Kerem Shalom yang dikawal Israel, di mana ia akan diperiksa terlebih dahulu sebelum dibenarkan masuk ke selatan Gaza.

Rakaman AFP menunjukkan trak-trak besar sarat dengan guni putih bergerak melalui bahagian Mesir di pintu sempadan Rafah.

Sebahagian trak memaparkan logo Bulan Sabit Merah Mesir, manakala yang lain membawa bendera Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Terdahulu, tentera Israel mengumumkan ‘jeda taktikal’ dari pukul 10 pagi hingga 8 malam hanya terpakai di kawasan tertentu, termasuk Al-Mawasi, Deir al-Balah dan beberapa bahagian di bandar Gaza.

Israel turut menyatakan laluan selamat dibuka di seluruh Gaza bagi memudahkan pergerakan konvoi bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi kemanusiaan lain.

Langkah itu diambil ketika tekanan antarabangsa semakin memuncak berikutan krisis kebuluran yang semakin buruk di Gaza.

Israel mula menjatuhkan bantuan makanan dari udara ke wilayah itu, susulan langkah serupa diumumkan oleh UAE dan United Kingdom (UK).

Ketua Pesuruhjaya UNRWA, Philippe Lazzarini memberi amaran kaedah bantuan udara adalah mahal, tidak berkesan dan boleh membunuh orang awam.

Israel mendakwa ia tidak menyekat bantuan, malah menuduh agensi PBB gagal mengagihkan bekalan yang sudah pun berada di dalam Gaza.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN