BEIJING: Seorang pengatur cara komputer berusia 38 tahun di China menjadi tular di media sosial selepas kisah hidupnya yang tidur di dalam kereta setiap hari bekerja demi menanggung keluarga mendapat perhatian ramai.
Lelaki dikenali sebagai Yin memilih untuk bermalam di dalam kereta di Beijing sepanjang hari bekerja dan hanya pulang ke rumahnya di Tianjin pada setiap Jumaat.
Menurut laporan Xiaoxiang Morning Herald, Yin memulakan rutin itu sejak hampir tiga tahun lalu bagi menjimatkan kos sara hidup bekerja di ibu negara.
Yin biasanya bertolak dari Tianjin pada pukul 5.30 pagi waktu tempatan setiap Isnin dan memandu sejauh 130 kilometer ke tempat kerjanya di Beijing serta hanya pulang pada setiap Jumaat untuk bersama dengan isteri dan dua orang anak.
Sebelum ini, Yin pernah menyewa rumah di Beijing dengan bayaran sewa sebanyak 2,500 yuan sebulan (RM1,600), namun mengambil keputusan untuk tinggal di dalam kereta bagi mengurangkan beban perbelanjaan.
Sejak pertengahan 2022, beliau menukar keretanya kepada kenderaan elektrik yang lebih luas bagi memudahkan kehidupan seharian.
“Sudah hampir tiga tahun saya tidur dalam kereta. Jika kereta cukup luas dan mudah untuk dicaj, pengalaman ini tidak jauh beza dengan tidur di hotel,” katanya.
Setiap hari, Yin akan meletakkan keretanya di kawasan taman berhampiran, bangun seawal pukul 6.30 pagi untuk berjalan di taman sebelum memasak sarapan menggunakan periuk elektrik kecil di dalam kereta.
“Selesai kerja, saya biasanya menonton televisyen, menyanyi karaoke atau menghubungi keluarga. Kadang-kadang saya menulis program. Saya tidak main permainan komputer. Biasanya saya tidur sekitar pukul 10 atau 11 malam,” jelasnya.
Menurut Yin, kehidupan seperti ini membolehkan dia berjimat berbanding menyewa rumah, sementara kos tol lebuh raya sebanyak 400 yuan sebulan (RM260), manakala caj elektrik untuk mengecas kereta kurang daripada 300 yuan (RM195) sebulan dan jika perlu pulang pada pertengahan minggu, tambang kereta api sekitar 100 yuan (RM65). – AGENSI










