Tiga lelaki didenda miliki gambar, video lucah

Tiga lelaki didenda miliki gambar, video lucah

piket
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda ke atas tiga lelaki termasuk dua penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) masing-masing berjumlah RM3,000 dan RM4,000 atas pertuduhan memiliki gambar video lucah menerusi serbuan di sebuah rumah di Kemumin, pada 18 Jun lalu.

Kesemua tertuduh iaitu, Mohd. Hanafi Ibrahim,47, Muhammad Al Azamuddin Al Fadzil, 22 dan Mohamad Syahmi Firas Mohd. Jurij, 27, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Wan Mohd. Izzat Wan Abdullah.

Mengikut pertuduhan kesemua mereka didakwa memiliki gambar dan video lucah dalam telefon bimbit masing-masing.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Kemumin, Kampung Pulau Belacan, Panchor, di sini, pada pukul 1.15 pagi pada 18 Jun lalu.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nadzir Abdullah dan Nur Haziqah Hassan sementara ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam, Samantha Chong Yin Xin.

Terdahulu, Muhammad Nadzir dan Nur Haziqah memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh supaya memberi pengajaran kepada masyarakat awam memandangkan tindakan itu tidak bermoral dan bertentangan dengan norma awam.

Samantha kemudian, memohon anak guamnya dikenakan denda paling minima kerana kesemua mereka sudah insaf dan berjanji akan berubah.

“Anak guam saya yang pertama, Mohd Hanafi memiliki masalah kesihatan dalam otak selain pernah menjalani pembedahan kepala pada 2016 dan kini ditanggung oleh kakaknya.

“Manakala Muhammad Al Azamuddin adalah penuntut universiti tahun pertama dan Mohamad Syahmi Firas adalah penuntut akhir di Politeknik.

“Kesemua mereka sudah insaf selain berjanji tidak akan mengulangi perbuatan sama dan keluarga juga berjanji akan membimbing mereka ke jalan yang benar selepas ini,” tegasnya.

Mahkamah kemudiannya mengenakan denda RM3,000 kepada Mohd. Hanafi manakala Muhammad Al Azamuddin dan Mohamad Syahmi Firas dikenakan denda masing-masing RM4,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN