BANGKOK: Ketegangan terus memuncak di sempadan Thailand-Kemboja, apabila kedua-dua negara saling menuduh melancarkan serangan artileri awal hari ini.
Kemboja mendakwa Thailand memulakan serangan pada awal pagi Ahad dan pasukan tenteranya kini dikerahkan di sepanjang sempadan.
Thailand pula mendakwa, tindakannya adalah sebagai respons terhadap serangan dari Kemboja.
Serangan itu berlaku hanya beberapa jam selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan pemimpin kedua-dua negara bersetuju untuk bekerjasama ke arah gencatan senjata.
Kemboja menyatakan sokongan penuh terhadap gesaan Trump untuk menghentikan serangan serta-merta.
“Saya nyatakan secara jelas kepada Presiden Donald Trump bahawa Kemboja bersetuju dengan cadangan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat antara kedua-dua pasukan,” kata Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dalam hantaran di Facebook.
Namun, Thailand menegaskan rundingan tidak dapat dimulakan selagi Kemboja terus menyasarkan penduduk awamnya, dakwaan yang dinafikan oleh Phnom Penh.
“Kami tidak mahukan campur tangan negara ketiga, tetapi menghargai keprihatinan beliau (Trump).
“Kami mencadangkan rundingan dua hala antara menteri luar kedua-dua negara untuk memuktamadkan syarat gencatan senjata serta pengunduran tentera dan senjata jarak jauh,” kata Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai kepada wartawan sebelum melawat kawasan sempadan.- AGENSI










