KLANG: Seramai 1,123 penumpang bas ekspres dan persiaran disaman kerana gagal memakai tali pinggang keledar ditempat duduk masing-masing menerusi operasi pemeriksaan di seluruh negara.
Pemerhatian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sehingga semalam mendapati rata-rata mereka memberi alasan tidak mengetahui mengenai peraturan baharu itu.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya mengeluarkan sebanyak 1,427 saman sejak penguatkuasaan itu dilaksanakan sejak awal bulan ini meliputi 280 saman yang dikeluarkan ke atas pemandu bas.
“Kita tidak dapat menerima alasan penumpang tidak tahu peraturan itu kerana pengendali bas sudah membuat pengumuman atau meletakkan notis peringatan mengenainya.
“Jika mereka termasuk pelancong asing tidak memakai tali pinggang, saman tetap dikeluarkan mengikut peraturan yang ditetapkan,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat sebuah kilang pembuatan bas elektrik di Telok Gong, hari ini.
Bermula 1 Julai lalu, JPJ mewajibkan pemasangan dan pemakaian tali pinggang keledar bagi semua bas ekspres dan bas persiaran yang dibina mulai 1 Januari 2020.
Bas yang dibina sebelum 2020 pula akan diberi tempoh tertentu bagi membuat pemasangan itu secara berperingkat.
Selain itu, JPJ turut akan turut memfokuskan penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar bagi bas milik institusi pengajian tinggi (IPT) dan sekolah berasrama penuh bermula Ogos depan.
Aedy menambah, kadar pematuhan dilihat meningkat berbanding susulan kerjasama pengendali bas yang mengambil langkah proaktif memberi peringatan kepada penumpang.
“Secara keseluruhannya, kita lihat pematuhan kian meningkat dan penumpang juga faham kepentingan pemakaian tali pinggang itu.
“JPJ akan melaksanakan operasi secara berterusan termasuk menggunakan kaedah penyamaran bagi menguatkuasakan peraturan itu,” ujarnya. – UTUSAN