KLANG: Taklimat khas insiden letupan saluran paip gas Putra Heights kepada semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor akan diadakan selepas selesai hari pertama sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) esok.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, banyak maklumat teknikal yang memerlukan pasukan penyiasat akan memberikan penjelasan kepada wakil rakyat negeri ini, supaya maklumat yang diperoleh mereka adalah tepat.
“Saya hendak (ahli parlimen dan ADUN) faham aspek teknikal dan tidak mempunyai persepsi tertentu dan salah. Saya tidak mahu mereka bercakap perkara yang salah dalam sidang DUN.
“Jadi, biar mereka faham skop, punca kejadian itu berlaku dan sebagaimana ketika mendengar taklimat itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Kempen Bebas Plastik Siri 2 2025, hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Amirudin akan mengadakan taklimat berkenaan pada sidang tersebut.
Beliau dilaporkan berkata, kerajaan negeri telus dalam melaporkan hasil siasatan tragedi yang berlaku pada 1 April lalu, tanpa menyembunyikan apa-apa maklumat.
Amirudin memaklumkan Jawatankuasa Teknikal yang menyiasat tragedi letupan paip itu, iaitu polis, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta beberapa pihak yang terlibat dalam siasatan akan memberi taklimat kepada semua ahli Parlimen dan ADUN esok.
Jelasnya, wakil rakyat akan berpeluang melontarkan pelbagai persoalan berhubung siasatan tersebut pada sesi taklimat berkenaan.
“Saya (juga) akan beri ruang kepada ADUN untuk tanya soalan mengenai isu Putra Heights dalam sidang DUN. Tetapi, saya harap soalan ditanya mereka adalah soalan relevan. Kalau bagi soalan bodoh, jawapan bodoh yang saya akan beri nanti,” selorohnya. – UTUSAN