DAMSYIK: Syria secara rasmi memperkenalkan lambang negara baharu pada Khamis, dalam satu majlis penuh bersejarah di Istana Presiden di Damsyik.
Pengumuman itu menandakan permulaan fasa baharu politik di Syria, sekali gus menutup tirai pemerintahan panjang Parti Baath sejak 1963.
Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa menyifatkan lambang itu sebagai cerminan sebuah negara yang bersatu dan tidak boleh dipecahkan, menurut laporan agensi berita rasmi, Syrian Arab News Agency (SANA).
“Identiti baharu ini mencerminkan fasa sejarah terbaharu Syria. Ia mengambil inspirasi daripada burung helang emas – simbol kekuatan, tekad, kepantasan, ketepatan dan inovasi.” katanya ketika berucap.
Burung helang emas itu menggantikan lambang terdahulu, dengan tiga bintang mewakili pembebasan rakyat.
Lima bulu ekornya melambangkan kawasan geografi utama Syria iaitu utara, timur, barat, selatan dan tengah, manakala 14 bulu sayap pula melambangkan 14 wilayah negara itu, masing-masing menceritakan kisah ketahanan selama 14 tahun revolusi.
Identiti baharu itu bakal disusuli perubahan praktikal termasuk penggantian kad pengenalan negara dan pasport bagi menyesuaikan dokumen rasmi dengan reka bentuk terbaharu.
Pelancaran identiti baharu ini berlaku selepas Bashar al-Assad melarikan diri ke Rusia pada Disember lalu, sekali gus menamatkan pemerintahan autoritarian selama hampir 25 tahun.
Satu pentadbiran peralihan nasional yang diketuai oleh Ahmed al-Sharaa dibentuk pada Januari lalu, sebagai langkah awal ke arah pembinaan semula negara.- ANADOLU









