KATHMANDU: Sekurang-kurangnya seorang maut manakala 28 lagi dilaporkan hilang dalam banjir besar akibat hujan lebat yang melanda sebuah lembah di pergunungan Himalaya, terletak antara China dan Nepal hari ini.
Arus deras turut meruntuhkan salah satu jambatan utama yang menghubungkan Nepal dan China, merentasi sungai Bhotekoshi.
Banjir dan tanah runtuh adalah perkara biasa di Asia Selatan sepanjang musim monsun dari Jun hingga September, namun pakar berkata perubahan iklim menjadikan bencana semakin buruk.
Di Nepal, seorang disahkan maut manakala 17 lagi hilang, terdiri daripada 11 rakyat Nepal dan enam warga China, menurut Pihak Berkuasa Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan.
Televisyen kerajaan China, CCTV, melaporkan bahawa bencana tanah runtuh melanda kawasan sempadan sekitar awal pagi Selasa, dengan 11 orang dilaporkan hilang.
Mereka adalah tambahan kepada enam pekerja binaan warga China yang dihanyutkan di bahagian Nepal, menjadikan keseluruhan warganya hilang kepada 17 orang.
Sebelum ini, Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) memberi amaran banjir dan kemarau yang semakin ekstrem merupakan ‘isyarat bahaya’ terhadap masa depan, apabila perubahan iklim menjadikan kitaran air global semakin tidak menentu.
Pusat Pembangunan Gunung Bersepadu Antarabangsa (ICIMOD) yang berpangkalan di Kathmandu turut memberi amaran pada Jun, bahawa masyarakat di rantau itu menghadapi risiko bencana yang lebih tinggi sepanjang musim tengkujuh tahun ini.
“Suhu yang semakin meningkat dan hujan ekstrem, mendorong risiko bencana berpunca daripada air seperti banjir, tanah runtuh serta banjir lumpur,” menurut kenyataan ICIMOD.- AFP










