‘Sambal Street’ kukuhkan rantaian ekonomi desa

‘Sambal Street’ kukuhkan rantaian ekonomi desa

RUBIAH Wang bercakap kepada pemberita pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Peluncuran Program Game Changer KKDW: ‘Sambal Street’ sempena Mega Karnival 3 Dimensi 2025 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC), Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rantaian ekonomi desa bakal diperkukuhkan menerusi pelancaran inisiatif berimpak tinggi ‘Sambal Street’ oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam Karnival Mega 3 Dimensi (MK3D) yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), semalam.

Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang berkata, program hasil kerjasama strategik KKDW dan Felcra Berhad itu bukan sahaja memberi manfaat kepada usahawan sambal, malah menyeluruh kepada pembekal bahan mentah, pengeluar, pembungkus serta pengedar, sekali gus mewujudkan satu ekosistem lengkap dalam industri sambal negara.

Katanya, pendekatan itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan produk desa sebagai salah satu pemacu baharu ekonomi luar bandar yang mampan dan berdaya saing.

“Ini bukan sekadar pasal sambal semata-mata. Kita mahu bentuk satu rantaian lengkap, daripada petani yang tanam cili, pembekal bahan mentah, pengusaha yang memproses, hinggalah ke peruncit dan pengeksport.

“Apabila semua ini dihubungkan secara sistematik, baru kita dapat jana pendapatan menyeluruh kepada komuniti desa,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Program Game Changer KKDW: ‘Sambal Street’, di sini hari ini.

Program itu merupakan antara 42 inisiatif berimpak tinggi yang digariskan KKDW bagi tahun ini di bawah kerangka pembangunan empat fokus utama kementerian iaitu pembangunan modal insan, keusahawanan, ekonomi dan reformasi birokrasi.

Katanya, melalui Sambal Street, KKDW menyasarkan pembentukan satu rantaian bekalan lengkap industri sambal termasuk meningkatkan kapasiti pengeluaran, memperkasakan komuniti usahawan serta memastikan pemilikan pensijilan halal dalam kalangan peserta.

“Sebanyak 30 produk sambal keluaran 16 usahawan Felcra terpilih bakal dipasarkan melalui lebih 90,000 rumah peserta Felcra, 800 stesen minyak serta rangkaian koperasi dan kedai terpilih di seluruh negara.

“Inisiatif ini juga diyakini mampu merangsang peningkatan permintaan terhadap bahan mentah tempatan seperti cili, bawang dan rempah, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan di peringkat akar umbi,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, sambal keluaran desa kini berjaya menembusi pasaran luar negara termasuk Singapura, Brunei dan Arab Saudi hasil inisiatif serta rangkaian perniagaan yang dibina sendiri oleh usahawan.

Katanya, pencapaian tersebut membuktikan bahawa produk desa bukan sahaja berdaya saing, malah mempunyai cita rasa global yang mampu memikat pengguna antarabangsa.

“Pasaran luar negara ini tidak hanya bergantung kepada MATRADE semata-mata, sebaliknya turut digerakkan oleh kekuatan produk itu sendiri dan kecekapan usahawan dalam memasarkan hasil mereka.

“Dengan slogan Produk Desa, Citarasa Dunia, Sambal Street bukan sekadar platform dagangan, malah simbol kebangkitan ekonomi desa yang menjadikan makanan warisan sebagai aset eksport bernilai tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN