KABUL: Kerajaan Afghanistan mengumumkan Russia menjadi negara pertama yang secara rasmi mengiktiraf pemerintahan Taliban, dengan menyifatkannya sebagai ‘keputusan berani’.
Taliban kembali berkuasa pada 2021 selepas menggulingkan kerajaan yang disokong kuasa asing, dan sejak itu melaksanakan bentuk pentadbiran undang-undang Islam yang ketat.
Kumpulan itu giat mendapatkan pengiktirafan rasmi di peringkat antarabangsa serta pelaburan asing, ketika Afghanistan berusaha pulih daripada konflik empat dekad, termasuk pencerobohan Soviet dari 1979 hingga 1989.
Pengumuman itu dibuat selepas Menteri Luar Afghanistan, Amir Khan Muttaqi, bertemu dengan Duta Russia ke Afghanistan, Dmitry Zhirnov, di Kabul kelmarin.
“Keputusan berani ini akan menjadi contoh kepada negara lain. Kini proses pengiktirafan bermula, dan Russia mendahului semua,” kata Amir dalam video pertemuan yang disiarkan di platform X.
Amir turut menyifatkan langkah itu sebagai fasa baharu dalam hubungan positif, saling menghormati dan membina kerjasama, menurut kenyataan Kementerian Luar Taliban yang dimuat naik di X.
Kementerian Luar Russia dalam kenyataan di Telegram percaya tindakan mengiktiraf pemerintahan Afghanistan akan memperkukuh pembangunan kerjasama dua hala antara negara dalam pelbagai bidang.
Ia turut menekankan potensi kerjasama komersial dan ekonomi dalam bidang tenaga, pengangkutan, pertanian serta infrastruktur.
Katanya, Moscow berharap dapat terus membantu Kabul memperkukuh keselamatan serantau dan memerangi ancaman keganasan serta penyeludupan dadah.
Russia mengambil beberapa langkah untuk menormalkan hubungan dengan pihak berkuasa Taliban, termasuk mengeluarkan mereka daripada senarai organisasi pengganas pada April lalu dan menerima duta Taliban di Kabul.
Pada Julai 2024, Presiden Russia, Vladimir Putin menyifatkan Taliban sebagai sekutu dalam memerangi keganasan.- AFP









