FLORIDA: Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dihantar ke pusat tahanan juvana selepas didakwa membuat ancaman bom semasa berada di dalam pesawat, yang mencetuskan panik dan pemeriksaan keselamatan ketat.
Insiden berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Fort Lauderdale-Hollywood pada Isnin lalu, ketika pesawat bersiap sedia untuk berlepas ke Kansas City.
Remaja tersebut yang menaiki penerbangan bersama rakannya, didakwa menjerit ‘saya ada bom dalam poket’ sebelum kekecohan tercetus di dalam kabin.
Kenyataan itu menyebabkan penumpang melaporkannya kepada anak kapal, mencetuskan tindak balas keselamatan menyeluruh.
Pesawat diarahkan ke kawasan terpencil dan semua penumpang dipindahkan dengan selamat, menurut kenyataan daripada syarikat penerbangan Spirit Airlines.
Tiada bahan letupan ditemui pada remaja terbabit atau di dalam pesawat, namun dia tetap ditahan oleh pihak berkuasa dan didakwa atas kesalahan membuat laporan palsu mengenai bom atau bahan letupan.
Perbuatan tersebut merupakan kesalahan jenayah yang membawa denda sekurang-kurangnya AS$1,000 (RM4,246).
Ibu kepada remaja itu tampil mempertahankan anaknya, dengan mendakwa ia hanyalah gurauan yang tidak kena pada tempat, sambil menambah remaja terbabit adalah anak yang baik.
Sementara itu, bapanya yang hadir dalam perbicaraan secara dalam talian, memohon belas ihsan daripada pihak mahkamah.
“Saya tidak percaya dia berniat jahat. Dia cuma bertindak seperti remaja 16 tahun yang belum matang,” rayunya.
Peguam remaja itu turut berhujah bahawa tiada bukti jelas kenyataan itu dibuat di dalam pesawat.
“Masalahnya, kenyataan itu tidak menyebut di mana ia dibuat. Adakah di dalam kapal terbang? Di lapangan terbang? Atau dalam perjalanan ke sana?” katanya.
Namun, hujahan tersebut tidak mengubah keputusan hakim yang memerintahkan remaja itu menjalani penilaian psikologi dan kekal ditahan di pusat tahanan juvana sehingga perbicaraan lanjut.- AGENSI










