SURIN: Thailand dan Kemboja saling berbalas tembakan artileri, ketika pertempuran terburuk dalam lebih sedekad berlanjutan ke hari kedua hari ini.
Serangan terbaharu berlaku walaupun terdapat desakan serantau dan antarabangsa untuk gencatan senjata segera dalam konflik sempadan yang memuncak serta meragut sekurang-kurangnya 16 nyawa.
Tentera Thailand melaporkan pertempuran bermula awal pagi di wilayah Ubon Ratchathani dan Surin, dengan mendakwa Kemboja menggunakan artileri serta sistem roket buatan Russia jenis BM-21.
“Pasukan Kemboja melancarkan pengeboman berterusan menggunakan senjata berat, artileri dan sistem roket BM-21.
“Pasukan Thailand membalas dengan tembakan sokongan yang bersesuaian mengikut situasi taktikal semasa,” menurut kenyataan tentera, hari ini.
Setakat lewat Khamis, angka kematian di Thailand meningkat kepada 15 orang, manakala 46 lagi cedera termasuk 15 anggota tentera.
Kerajaan Kemboja pula belum mengeluarkan sebarang maklumat mengenai jumlah korban atau pemindahan orang awam.- AGENSI










