GEORGE TOWN: Kenaikan mendadak harga buah avokado sejak awal tahun ini memberi tekanan hebat kepada peniaga minuman berasaskan buah itu yang kini bergelut mengimbangi kos operasi, terutama selepas pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap buah-buahan import.
Pemilik gerai Jus Avokado Abang Long, Nurul Badriah Hanafi berkata, kenaikan harga borong avokado yang kini mencecah lebih RM20 sekilogram memaksanya mempertimbang semula kelangsungan perniagaannya.
“Kadang-kadang harga boleh cecah lebih RM20 sekilo. Sekarang dengan SST pula, saya buntu sama ada mahu teruskan jual jus avokado atau tidak,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.
Katanya, penyediaan secawan jus kini semakin mahal kerana saiz buah yang besar tetapi isinya sedikit, menyebabkan margin keuntungan semakin mengecil. Harga jualan secawan jus kini antara RM11 hingga RM14.
Nurul yang telah berniaga lebih lapan tahun berkata, sedang menunggu kadar baharu harga buah daripada pemborong sebelum membuat keputusan seterusnya.
Sementara itu, seorang lagi peniaga, Mohamad Faiz Nazmi Mohamad Izdihar dari Mr&Mrs Avocado, Seberang Perai, memaklumkan harga sekotak avokado melonjak hingga RM200 berbanding hanya RM100 hingga RM120 tujuh tahun lalu.
“Mula-mula tahun ini pun harga dah naik RM150 ke atas. Sekarang kalau dapat RM160 atau RM170 pun kira murah. SST terhadap buah import seperti avokado sejak awal 2025 mempercepatkan lagi kenaikan ini,” katanya.
Rata-rata peniaga ditemui turut berharap kerajaan mempertimbang semula pelaksanaan cukai tersebut yang memberi kesan langsung kepada peniaga kecil, seterusnya pengguna. – UTUSAN










