Pengurus projek pusat data minta rasuah tiga peratus nilai projek

Pengurus projek pusat data minta rasuah tiga peratus nilai projek

IJM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang pengurus syarikat pembinaan pusat data yang ditahan baru-baru ini dipercayai meminta bayaran kira-kira tiga peratus nilai projek daripada mana-mana syarikat yang ingin mendapatkan projek.

Menurut sumber, siasatan lanjut pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati ia dilakukan dengan membocorkan harga tender projek selain membantu memastikan syarikat-syarikat yang membayar rasuah untuk memenangi tender tersebut.

“Wang rasuah ini dibayar secara berperingkat mengikut progres pembayaran projek.

“Difahamkan terdapat beberapa juta lagi yang masih belum dibayar oleh syarikat kepada suspek seperti mana perjanjian mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sumber berkata, SPRM turut mengenal pasti dua lagi syarikat yang memperoleh projek dengan merasuah pengurus projek syarikat pembinaan pusat data terbabit.

Menurut sumber, beberapa pengarah syarikat turut dikenal pasti SPRM dalam siasatan terbabit.

“Beberapa pengarah syarikat terbabit akan dipanggil untuk membantu siasatan,” katanya.

Kelmarin, media melaporkan pengurus projek syarikat pembinaan terkemuka yang ditahan untuk siasatan kes rasuah melibatkan perolehan tender projek pembinaan pusat data sanggup membakar wang tunai hampir RM1 juta selepas terkejut dengan serbuan SPRM melalui Op Ways, Khamis lalu.

Sumber dilaporkan berkata, ketika serbuan dijalankan di rumahnya di Petaling Jaya, pasukan pegawai SPRM menemui wang kertas RM100 yang ke­seluruhannya berjumlah hampir RM1 juta dalam keadaan sudah terbakar.

“Hasil pemeriksaan menyeluruh di rumah suspek menemui wang tunai kira-kira RM7.5 juta yang disimpan di dalam beberapa kotak bantal, tiga utas jam tangan jenama Rolex, Omega dan Cartier selain barang kemas seperti cincin serta syiling emas.

Jumaat lalu, suspek bersama isteri serta dua pengarah syarikat ditahan dipercayai terbabit rasuah melibatkan perolehan tender projek pembinaan pusat data di Johor bernilai kira-kira RM180 juta.

Pengurus projek terbabit kemudian direman tujuh hari, isterinya direman tiga hari manakala dua lelaki berjawatan pengarah syarikat direman lima hari.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×