KUALA SELANGOR: Pelaksanaan Titah Adendum bagi membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani hukuman tahanan rumah tidak akan mengubah senario politik negara ini.
Timbalan Presiden Muafakat Nasional, Tan Sri Noh Omar berkata, tindakan mengaitkan Titah Adendum dengan kepentingan politik menyebabkan isu tersebut berlarutan sehingga memaksa ia diputuskan di mahkamah.
Menurutnya, isu yang timbul bukan sahaja mempertikai keadilan terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu, bahkan mempersoal dan tidak menghormati titah Yang di-Pertuan Agong sebagai satu kuasa prerogatif dan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi.
“(Isu Titah Adendum) tidak ada kena mengena dengan politik. Bagi saya adalah hak Najib, hak menghormati titah Yang di-Pertuan Agong dan juga Perlembagaan Persekutuan. Jangan dikaitkan dengan isu politik, memang tak selesailah.
“Tahanan di rumah maksudnya ditahan di rumahlah, bukannya dibebaskan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Mesyuarat Tahunan Parti Bersatu (Bersatu) Bahagian Tanjong Karang, hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dikatakan tidak menjalankan usaha wajar dalam memastikan kewujudan Titah Adendum berhubung perintah tahanan di rumah.
Menurut Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar, Najib gagal menggunakan semua kemudahan untuk menghubungi pihak berkuasa di Penjara Kajang bagi mendapatkan bukti kewujudan Titah Adendum itu sewaktu di peringkat Mahkamah Tinggi.
Malah, Najib juga dilaporkan gagal dalam bantahan awalnya terhadap rayuan Peguam Negara berhubung keputusan mahkamah terdahulu yang membenarkan beliau memulakan semakan kehakiman dan mengemukakan bukti baharu berhubung Titah Adendum.
Panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim yang bersidang bersama-sama Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah sebulat suara menolak bantahan itu selepas mendengar hujah pihak-pihak terlibat.
Sementara itu, Noh yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu memberitahu beliau bersedia menjadi saksi bagi perbicaraan terhadap Najib berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sedang berjalan di Mahkamah Tinggi.
“Beliau memberi kepercayaan kepada saya dengan meminta menjadi saksi bagi perbicaraan kes tersebut walaupun saya bukan lagi ahli UMNO.
“Saya amat menghormati beliau. Malah, ketika menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor dahulu, saya buat kenyataan Naib tidak mendapat keadilan seperti minta tangguh kerana hendak menukar peguam,” jelasnya. – UTUSAN