SHAH ALAM: Sekurang-kurangnya lima daripada 89 pemilik premis di Pusat Komersial Dataran Otomobil, Seksyen 15, di sini dipanggil oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kerana disyaki mengalibabakan lesen perniagaan kepada warga asing.
Tindakan itu dikesan menerusi satu serbuan secara besar-besaran antara pihak berkuasa tempatan itu bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di kawasan berkenaan, semalam yang menyaksikan pemeriksaan lebih 200 warga asing di sana.
Antara yang diperiksa melibatkan individu warga Indonesia, Nepal, Bangladesh, Myanmar, India dan Pakistan.
Dalam operasi bermula pukul 4.30 petang itu, antara kesalahan dikesan seperti menggajikan pekerja asing tanpa permit, tinggal lebih masa dan membenarkan warga asing berniaga di premis-premis berkenaan.
Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd. Fauzi Mohd. Yatim berkata, tindakan sebilangan pemilik premis dan pemegang lesen perniagaan membenarkan warga asing berniaga di kawasan berkenaan menyumbang kepada lambakan komuniti itu di sana.
Menurutnya, antara yang dikesan adalah terdapat pemilik perniagaan kedai runcit mengalibabakan lesen perniagaan mereka sejak lima tahun lalu.
“Tempoh lima tahun itu merupakan secara langsung akan membuatkan warga asing mendominasi perniagaan yang sepatutnya diusahakan warga tempatan.
“Ada seorang peniaga warga asing memberitahu dia mengaku sudah tahun ke lima berniaga secara tidak sah. Ia satu tempoh masa yang panjang dan saya mahu memastikan ia dibanteras dan tidak berlaku lagi,” katanya ketika ditemui pada operasi tersebut.
Mohd. Fauzi menambah, justeru kesemua pemilik terlibat diberi tempoh selama 14 hari bagi memberikan penjelasan kepada MBSA selain membuat pembetulan terhadap pelanggaran syarat lesen perniagaan yang dikeluarkan.
Tegasnya, tindakan menyewakan tapak atau lesen perniagaan adalah satu kesalahan dan akan membuat pemeriksaan susulan bagi memastikan kawasan itu bersih daripada operasi kedai runcit warga asing atau pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Antara kedai-kedai yang diarahkan ditutup seperti kedai runcit, cuci kereta dan restoran. Malah, ada juga warga asing yang berniaga ayam dan itik hidup untuk memenuhi permintaan dalam kalangan mereka sendiri,” ujarnya.
Katanya lagi, tindakan penguatkuasaan diambil mengikut Undang-Undang Kecil Perlesenan Establisymen Makanan MBSA 2007 dan Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MBSA 2007. – UTUSAN