Lelaki Korea Utara ditahan selepas ceroboh sempadan darat

Lelaki Korea Utara ditahan selepas ceroboh sempadan darat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Seorang lelaki warga Korea Utara ditahan selepas berjaya menyeberangi sempadan darat yang dikawal ketat ke Korea Selatan, menurut kenyataan tentera Seoul hari ini.

Menurut Ketua Turus Bersama (JCS) Korea Selatan, lelaki yang dikenal pasti sebagai orang awam itu dilaporkan berjaya melintasi Garisan Persempadanan Tentera (MDL), di bahagian tengah Zon Bebas Tentera (DMZ) pada Khamis.

MDL merupakan sempadan de facto yang membahagikan kedua-dua Korea dan kawasan DMZ pula dikenali sebagai salah satu kawasan paling banyak dipasang periuk api di dunia.

“Angkatan tentera mengesan individu itu berhampiran MDL dan menjalankan penjejakan serta pemantauan,” jelas JCS dalam satu kenyataan.

Pasukan keselamatan kemudian berjaya menjalankan ‘operasi bimbingan standard’ untuk menahan individu terbabit.

Operasi itu mengambil masa kira-kira 20 jam, selepas lelaki terbabit dikesan oleh alat pengawasan tentera antara pukul 3 hingga 4 pagi Khamis.

Pihak tentera turut memaklumkan siasatan lanjut akan dijalankan pihak berkuasa berkaitan bagi mengenal pasti latar belakang serta tujuan sebenar pencerobohan tersebut.

Lazimnya, warga Korea Utara yang berjaya tiba ke Selatan akan diserahkan kepada agensi perisikan negara itu bagi proses saringan dan soal siasat.

Insiden itu merupakan kes terbaharu selepas sebuah bot kayu yang membawa empat warga Korea Utara hanyut merentasi sempadan maritim de facto pada Mei lalu.

Sejak tamat Perang Korea pada tahun 1950-an, puluhan ribu warga Korea Utara melarikan diri ke Selatan, kebanyakannya melalui darat ke China sebelum memasuki negara ketiga seperti Thailand dan seterusnya ke Korea Selatan.

Bagaimanapun, pelarian yang melintasi sempadan darat utama antara kedua-dua negara tersebut adalah amat jarang berlaku.

Jumlah pelarian juga menunjukkan penurunan ketara sejak tahun 2020 selepas Korea Utara menutup sempadannya secara ketat kononnya untuk mengekang penularan wabak Covid-19, malah terdapat laporan Pyongyang mengarahkan tenteranya supaya menembak sesiapa sahaja yang cuba menyeberangi sempadan.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN