TEXAS: Jumlah korban akibat banjir kilat yang melanda kawasan luar bandar San Antonio di Texas, meningkat kepada 24 orang.
Syerif Daerah Kerr, Larry Letha, mengesahkan jumlah korban rasmi meningkat berbanding angka awal 13 kematian.
“Saya boleh sahkan pada ketika ini, kita merekodkan kira-kira 24 kematian,” katanya dalam sidang media pada malam Jumaat.
Terdahulu, Leitha memaklumkan, lebih 20 pelajar perempuan dari sebuah kem musim panas masih belum dapat dikesan.
Menurut Timbalan Gabenor Texas, Dan Patrick, sebahagian mangsa yang terkorban merupakan kanak-kanak.
Beliau turut memaklumkan, kira-kira 23 pelajar perempuan dari Camp Mystic, yang terletak di sepanjang Sungai Guadalupe, masih belum dapat dikesan selepas paras air meningkat lapan meter dalam masa hanya 45 minit.
Patrick turut membacakan mesej daripada pengara kem musim panas yang menempatkan kira-kira 750 peserta sepanjang cuti, yang melaporkan bahawa kawasan tersebut mengalami banjir dahsyat.
“Kami tiada bekalan elektrik, air atau sambungan internet,” menurut mesej daripada pengarah kem tersebut.
Pihak berkuasa negeri dan tempatan turut memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak melakukan perjalanan ke kawasan terjejas, termasuk tapak perkhemahan di sepanjang Sungai Guadalupe, memandangkan puluhan jalan raya kini tidak boleh dilalui.
Rakaman yang dimuat naik ke media sosial menunjukkan rumah dan pokok dihanyutkan oleh arus deras, selepas hujan lebat sepanjang malam yang menyamai hujan tahunan daerah Kerr.
Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan dengan tumpuan utama kepada peserta kem musim panas, selain pihak berkuasa terus memantau keadaan cuaca yang kekal berisiko.- AFP










