Kes Kevin Morais: Keputusan penghakiman terakhir hari ini

Kes Kevin Morais: Keputusan penghakiman terakhir hari ini

ANTHONY KEVIN MORAIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua Ha­kim Negara, Tun Tengku Mai­mun Tuan Mat yang mencapai umur bersara wajib hari ini di­jangka membaca penghakiman terakhir beliau dalam ra­yuan akhir enam lelaki yang disabitkan dengan pembunuhan Timbalan Ke­tua Bahagian Bicara dan Ra­yuan, Datuk Anthony Kevin Morais, hari ini.

Enam individu itu adalah bekas pakar patologi Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM), Kolonel Dr. R. Kunaseegaran, 62; bekas pemberi pinjaman wang, S. Ravi Chandaran, 54, dan empat penganggur, R. Dinishwaran, 33; A. K. Thinesh Kumar, 32; M. Vishwanath, 35, serta S. Nimalan, 32.

Pada 14 Mei lalu, Tengku Maimun yang bersidang bersama Presiden Mahkamah Ra­yuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Rhodzariah Bujang menangguhkan keputusan kes itu selepas mendengar hujah pihak-pihak terlibat.

Hakim Abang Iskandar juga akan mencapai umur persa­raan wajib pada Rabu ini.

Esok, Mahkamah Persekutuan boleh mengekalkan hukuman mati yang dikenakan ke atas enam lelaki tersebut sebagaimana yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum ini.

Jika rayuan itu dibenarkan, kesemua perayu itu boleh dikenakan hukuman pemenjaraan bagi tempoh minimum 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah juga dihukum de­ngan sebatan tidak kurang 12 kali.

Kesemua perayu dija­tuhi hukuman mati oleh Mah­ka­mah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Julai 2020 selepas didapati bersalah atas tuduhan membunuh Morais dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 14 Mac 2024.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa membunuh Kevin ketika beliau dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya ke Nombor 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya antara pukul 7 pagi dan 8 malam pada 4 September 2015.

Kevin dilaporkan hilang pada 4 September 2015, yang mana sebelum itu dilihat meninggalkan kondominiumnya di Menara Duta, dengan menaiki kereta Proton Perdana.

Mayatnya kemudian ditemukan dalam tong dram yang disimen di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya pada 16 September 2015.

Pada prosiding rayuan sebelum ini, kesemua perayu diwakili peguam-peguam bela, Amer Hamzah Arshad (Nimalan), Kitson Foong (Ravi Chandaran), M. Manoharan (Dinishwaran), Datuk N. Sivananthan (Kunaseegaran), Burhanudeen Abdul Wahid (Thinesh Kumar) dan Afifuddin Ahmad Hafifi (Vishwanath).

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Yusaini Amer Abdul Karim. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×