SHAH ALAM: Caj tempat letak kereta di negeri ini yang melibatkan empat kawasan iaitu Selayang, Petaling Jaya, Subang Jaya dan Shah Alam kekal pada kadar 40 hingga 60 sen walaupun kerajaan negeri di sana melantik syarikat konsesi bagi mengutipnya.
Exco Pelancongan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ng Suee Lim berkata, syarikat konsesi berkenaan akan memulakan kutipan caj pada Ogos ini yang dijangka akan meningkatkan hasil kepada 60 peratus berbanding 30 peratus sebelum ini.
“Syarikat berkenaan akan mengutip caj parkir di kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS),” katanya kepada pemberita, semalam.
Terdahulu, syarikat konsesi tersebut dilapor mahu memperoleh 50 peratus hasil kutipan caj parkir selepas dilantik pada Mac lalu, malah ia juga akan melaporkan kenderaan yang tidak membayarnya.
Suee Lim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan mengesahkan syarikat itu akan memperoleh 50 peratus hasil kutipan tersebut, namun menetapkan syarat supaya mencapai sasaran 60 peratus.
“Sekiranya tidak dapat tingkatkan kutipan dalam tempoh tertentu, kita boleh membatalkan kontrak perjanjian kerja dengan mereka pada bila-bila masa walaupun kita beri kontrak kerja kepada mereka untuk tempoh 10 tahun,” jelasnya. – UTUSAN