Padang Besar ada PBT sendiri

Padang Besar ada PBT sendiri

PADANG Besar bakal mempunyai pihak berkuasa tempatan (PBT) sendiri selepas diluluskan kerajaan Perlis baru-baru ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Padang Besar bakal mempunyai pihak berkuasa tempatan (PBT) sendiri selepas diluluskan kerajaan Perlis baru-baru ini.

Bagi fasa satu yang dilaksanakan secara interim melibatkan keseluruhan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) dan Projek Pelabuhan Darat (PIP) berkuat kuasa 1 Mac ini.

Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, selain itu, dalam usaha meningkatkan kemudahan infrastruktur dan aksesibiliti, kerajaan negeri juga akan melaksanakan satu lagi inisiatif strategik dengan penubuhan Pusat Sehenti Khas (One Stop Centre-OSC) Permit Pembangunan bagi kawasan pelaburan utama negeri di CVIA.

Katanya, inisiatif penubuhan OSC Khas CVIA itu selaras dengan keputusan kerajaan negeri untuk melaksanakan penubuhan PBT Padang Besar yang dijadual bermula pada 1 Januari 2027.

“Bagi peringkat permulaan, Unit OSC Khas CVIA itu akan diuruskan PLANMalaysia Perlis dengan kerjasama rapat jabatan-jabatan teknikal berkaitan termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) serta agensi-agensi berkepentingan lain,” katanya di sini semalam.

Abu Bakar berkata, langkah dilaksanakan kerajaan negeri itu bertujuan mewujudkan persekitaran pembangunan dan pelaburan lebih kondusif, mesra pelabur serta berdaya saing.

Katanya, inisiatif itu juga untuk mengurangkan tempoh pemprosesan kelulusan tanpa menjejaskan pematuhan undang-undang, garis panduan dan keperluan teknikal ditetapkan.

“Penubuhan OSC Khas ini bertujuan untuk memudahcara, menyelaras serta mempercepatkan proses kelulusan permohonan pembangunan dan pelaburan di kawasan berkenaan secara lebih cekap dan bersepadu,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri kekal komited untuk terus melaksanakan pelbagai inisiatif strategik yang seimbang antara pembangunan infrastruktur, keselamatan awam dan pemerkasaan ekosistem pelaburan.

“Usaha tersebut adalah demi menjamin kesejahteraan rakyat serta memacu pertumbuhan ekonomi negeri secara mampan dan berdaya tahan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN