SHAH ALAM: Pembatalan Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) 2003 didakwa mencetuskan kelompongan dalam penguatkuasaan atau vakum undang-undang terhadap institusi fatwa di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, draf undang-undang baharu sama ada pindaan atau gantian kepada seksyen tersebut perlu segera dibawa ke Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menurutnya, implikasi terhadap pembatalan itu juga didakwa menyebabkan Jawatankuasa Fatwa Selangor terdedah dengan cabaran di Mahkamah Sivil terutama melibatkan kumpulan-kumpulan ajaran sesat.
“Kerana pada waktu ini, kekosongan undang-undang (legal vacuum) yang berlaku akibat pembatalan Seksyen 66A bukan sahaja menjejaskan keabsahan fatwa, bahkan boleh membuka ruang kepada normalisasi fahaman menyimpang yang tidak dapat dikawal secara sah.
“Bila draf undang-undang gantian kepada Seksyen 66A akan dibentangkan di dewan dan jaminan kerajaan negeri bahawa peruntukan yang bakal digubal itu benar-benar akan menutup lompang perundangan sedia ada serta mengukuhkan semula perlindungan terhadap institusi fatwa dan keselamatan akidah umat Islam di Selangor,” katanya kepada pemberita semalam.
Terdahulu, Nurul Syazwani pada sesi soalan kepada Menteri Besar dalam Sidang DUN Selangor semalam membangkitkan persoalan kelompongan dalam enakmen berkenaan, namun mendakwa tidak mendapat jawapan sewajarnya daripada kerajaan negeri.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Kerajaan Selangor sedang meneliti sebarang pindaan termasuk keperluan penggubalan undang-undang baharu bagi memperkukuh penguatkuasaan agama Islam dan fatwa di negeri ini.
Menurut Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, sehingga pindaan atau penggubalan undang-undang baharu dibuat pada Sidang DUN akan datang, pihak berkuasa agama negeri akan menguatkuasakan fatwa berkaitan akidah sedia ada bagi menghentikan gerakan berkaitan ajaran sesat atau bertentangan dengan Islam dan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).
Nurul Syazwani yang juga Ketua Penerangan Srikandi Parti Bersatu (Bersatu) berkata, langkah wajar perlu diambil apabila tiada pemulihan automatik bagi peruntukan undang-undang yang sudah dibatalkan.
“Mahkamah Persekutuan dalam kes Sisters In Islam (SIS) Forum Malaysia (SIS Forum) baru-baru ini memaklumkan sebarang peruntukan baharu mestilah digubal dalam skop dan had yang dibenarkan Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya. – UTUSAN