Selangor perkenal langkah keselamatan di sekolah

Selangor perkenal langkah keselamatan di sekolah

Keselamatan sekolah
AMIRUDIN SHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Selangor akan melaksanakan langkah keselamatan di sekolah bagi mencegah sebarang ancaman keselamatan di premis awam itu bermula dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Utama 4, Damansara.

Langkah keselamatan itu termasuk melibatkan penggunaan alat pengesan logam, kamera litar tertutup (CCTV) dan sistem notifikasi kepada ibu bapa dan guru sekolah.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pelaksanaan langkah tersebut penting sebagai usaha mengembalikan keyakinan ibu bapa, guru dan pelajar terhadap tahap keselamatan di sekolah.

“Serta memulihkan kesan trauma, kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan dengan para ibu bapa, guru, dan pelajar bagi memperingati pelajar yang kehilangan nyawa.

“Proses itu akan melibatkan perbincangan bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan merangkumi Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan

Pendidikan Negeri Selangor, Kementerian Pendidikan dan polis,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, sekolah menengah di Bandar Utama di sini meningkatkan kawalan keselamatan dengan pemeriksaan menggunakan alat pengesanan logam di pintu masuk susulan kes tikam seorang pelajar perempuan, Selasa lalu.

Pemeriksaan tersebut dilakukan guru bagi memastikan tiada bahan terlarang atau berbahaya dibawa masuk oleh pelajar, sekali gus menjamin keselamatan semua warga sekolah.

Amirudin berkata, tragedi tersebut memberi kesan trauma kepada kebanyakan pelajar di sekolah terbabit sehingga menyebabkan penurunan kehadirannya sejak kelmarin.

“Tragedi ngeri pelajar perempuan yang maut ditikam di Bandar Utama ketika berada di sekolah telah meninggalkan kesan trauma kepada pelajar-pelajar lain di sekolah itu, terutamanya mereka yang menyaksikan jenayah tersebut.

“Ia menyebabkan kehadiran pelajar ke sekolah tersebut dalam tempoh dua tiga hari ini menurun,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN