SHAH ALAM: Kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM1,000 kepada 64 keluarga yang terjejas akibat ribut di Sijangkang, Kuala Langat dengan dana keseluruhan di bawah Tabung Bencana Negeri berjumlah RM64,000.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, peruntukan tersebut diluluskan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) selepas impak bencana tersebut dibentangkan pagi tadi.
“Susulan kejadian ribut dua hari lalu yang merosakkan harta benda penduduk terutamanya di Sijangkang kepada setiap ketua keluarga yang mengalami kerosakan kepada rumah.
“Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) turut mengesan seramai 14 penduduk termasuk satu pegawai pusat khidmat yang mengalami kecederaan akibat kejadian ribut itu. Kesemua mereka sedang dirawat di hospital kerajaan dan akan diberikan bantuan RM1,000 seorang,” katanya kepada pemberita, pada hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri menggunakan peruntukan dalam Tabung Bencana Negeri bagi membayar kerja baik pulih kerosakan infrastruktur yang dialami Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan dengan kos berjumlah RM320,000.
Menurutnya sebelum ini, dua agensi negeri, Yayasan Menteri Besar Diperbadankan (MBI) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah memberikan bantuan awal, iaitu menyalurkan RM564,000 kepada enam buah sekolah, pusat khidmat dan keluarga mangsa ribut.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan sebanyak 40 buah rumah, lima sekolah dan satu dewan orang ramai rosak akibat bencana terbabit.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kira-kira RM1.9 juta diperuntukkan Kementerian Kerja Raya untuk kerja pembersihan kerosakan enam bangunan awam yang dibadai ribut dan angin kencang terbabit. – UTUSAN










