Isu Epstein, tekanan terhadap Powell gugat imej Trump

Isu Epstein, tekanan terhadap Powell gugat imej Trump

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menghadapi minggu paling mencabar rentetan isu utama yang menggugat imejnya menjelang lawatan ke Britain, termasuk masalah kesihatan, kaitan kes mendiang Jeffrey Epstein dan tekanan terhadap Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed), Jerome Powell.

Semalam, laporan dari Wall Street Journal (WSJ) mendakwa Trump pernah menulis surat ulang tahun berunsur lucah kepada Epstein, tokoh kewangan yang tercemar dengan skandal seks.

Trump menafikan dakwaan itu, menyifatkannya sebagai fitnah dan palsu, malah kini menyaman pemilik syarikat induk WSJ, Rupert Murdoch, Dow Jones & Company, News Corporation serta wartawan Khadeeja Safdar dan Joseph Palazzolo berikutan laporan tersebut.

Dalam usaha mengalih perhatian, Ketua Perisikan Nasional, Tulsi Gabbard, mengarahkan penyahklasifikasian dokumen era bekas Presiden, Barrack Obama berkaitan siasatan campur tangan Russia dalam pilihan raya 2016, mendakwa ia dipolitikkan.

Trump menyamakan siasatan Russia dengan kontroversi Epstein, mendakwa kedua-duanya adalah penipuan yang direka musuh politik.

Dalam masa sama, Rumah Putih terpaksa mengesahkan kesihatan Trump tidak berada dalam keadaan baik, satu kenyataan yang jarang dibuat secara terbuka, membangkitkan spekulasi mengenai keupayaan fizikal beliau menjelang pilihan raya akan datang.

Trump juga mencetuskan kekeliruan apabila mengancam untuk memecat Powell kerana dasar kadar faedah yang menjejaskan peminjam sebelum menarik balik cadangan itu selepas amaran daripada penasihat ia boleh mencetuskan panik pasaran.

Langkah itu mencetuskan kebimbangan terhadap campur tangan politik dalam institusi seperti Fed, yang secara tradisinya bebas daripada tekanan eksekutif.

Trump mendakwa, beliau hanya akan memecat Powell jika terbukti berlaku penipuan, merujuk kepada siasatan ke atas projek ubah suai bank pusat.

Walaupun Trump mengharapkan minggu ini menjadi minggu kemenangannya selepas kejayaan meluluskan rang undang-undang cukai, pemotongan perbelanjaan kerajaan, serta undang-undang baharu berkaitan mata wang digital stablecoin, isu Epstein dan tekanan terhadap Powell menjejaskan momentum tersebut.

Lapor Bloomberg, minggu penuh kekecohan itu turut memperlihatkan kedudukan Trump tidak sekuat yang cuba ditonjolkan, terutama menjelang lawatan penting ke Britain minggu depan untuk memuktamadkan perjanjian perdagangan bersama Perdana Menteri United Kingdom (UK), Keir Starmer.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×