Israel rekrut ‘tali barut’ di Gaza, guna dadah perangkap golongan muda

Israel rekrut ‘tali barut’ di Gaza, guna dadah perangkap golongan muda

PENDUDUK Palestin berkumpul di pusat agihan bantuan GHF berhampiran kem pelarian Nuseirat di tengah Semenanjung Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Kumpulan pejuang Hamas berjaya menggagalkan cubaan tentera Israel untuk menyeludup peralatan pengintipan kepada ‘tali barut’ bagi melaksanakan misi keselamatan yang berbahaya.

Israel didakwa menggunakan pusat agihan bantuan di Gaza untuk merekrut dan bertemu dengan ejen perisik tempatan, menurut seorang pegawai keselamatan Hamas kepada Al Jazeera.

Pegawai itu turut dilaporkan berkata, Israel menggunakan dadah untuk memerangkap golongan muda agar menjadi tali barut dan memberikan tugas risikan kepada mereka.

“Kami menggagalkan cubaan menyeludup peralatan pengintipan dan telefon moden kepada individu yang direkrut Israel bagi melaksanakan misi keselamatan yang berbahaya,” kata pegawai.

Beliau menegaskan, skim bantuan Israel disokong Amerika Syarikat (AS) itu menyemai kekacauan dan mewujudkan permusuhan yang menambah penderitaan penduduk di Gaza.

Katanya, ia juga membuka ruang kepada kemunculan kumpulan jenayah serta menggugat keselamatan di wilayah terkepung itu.

Justeru, pegawai Hamas menggesa beberapa syarikat tempatan untuk mengelak daripada terlibat dalam rancangan pasukan rejim dan ‘menghalalkan’ jenayahnya.

TALI BARUT DIBIAYAI PA?

Sementara itu, akhbar Israel, Yedioth Ahronoth, mendakwa dua kumpulan bersenjata sedang beroperasi menentang Hamas di utara dan selatan Gaza, selain kumpulan Yasser Abu Shahab yang sudah aktif di Rafah.

Laporan di laman berita Ynet turut mendedahkan pada bulan lalu, sumber Pihak Berkuasa Palestin (PA) memberitahu mereka menjangkakan dua lagi kumpulan akan mula beroperasi di Gaza dalam masa terdekat.

Ketegangan di Semenanjung Gaza semakin meruncing apabila laporan itu turut mendedahkan tentera Israel kini didakwa bekerjasama dengan dua kumpulan bersenjata yang menerima bayaran daripada PA, menurut sumber pada Rabu.

Dalam perkembangan berkaitan, Mahkamah Revolusi Gaza mengeluarkan ultimatum kepada Yasser supaya menyerah diri dalam tempoh sepuluh hari, atau bakal dihadapkan ke perbicaraan absentia tanpa kehadiran.

Beliau dituduh melakukan penderhakaan, membentuk kumpulan bersenjata, dan melancarkan pemberontakan bersenjata.

GESA GHF DITUTUP

Kementerian Dalam Negeri Gaza menyatakan, Israel cuba mengawal pengagihan bantuan melalui sebuah institusi yang disifatkan mencurigakan dan didakwa berperanan menyokong dasar serta matlamat Israel.

Menurut laporan Al Jazeera, Hamas turut mengecam mekanisme bantuan sedia ada, yang digambarkan sebagai gagal sepenuhnya apabila ribuan penduduk terpaksa berebut bantuan dengan risiko ditembak oleh pihak tertentu.

Kementerian Kesihatan Gaza mendedahkan,lebih 500 rakyat Palestin terbunuh serta lebih 4,000 lagi cedera sejak 27 Mei lalu berhampiran pusat bantuan dan tempat pengagihan makanan yang dikendalikan oleh badan yang dikenali sebagai Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF).

Program ini beroperasi di luar kawalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi bantuan antarabangsa yang sah.

Hamas menegaskan rancangan bantuan tersebut sengaja direka untuk menyingkirkan peranan PBB dan agensinya termasuk mencapai matlamat politik dan ketenteraan Israel yang jelas bukan bertujuan membantu rakyat Palestin.

Satu lagi dakwaan serius muncul minggu lalu apabila Pejabat Media Kerajaan Gaza melaporkan penemuan pil narkotik jenis oxycodone yang tersembunyi di dalam karung tepung dari pusat bantuan yang dikendalikan oleh AS dan Israel itu.

Empat individu tampil memberi keterangan mereka menemukan pil berbahaya itu dalam bekalan makanan yang diterima daripada pusat yang digelar sebagai ‘perangkap maut’.

Pegawai Palestin menyifatkan insiden itu sebagai jenayah kejam yang bukan sahaja mengancam kesihatan awam, malah turut merosakkan struktur sosial masyarakat.

Biro Palestin secara langsung menyalahkan tentera pendudukan Israel kerana cuba menyebarkan ketagihan dan menghancurkan perpaduan rakyat dari dalam.

Lebih 130 organisasi kemanusiaan termasuk Oxfam, Save the Children dan Amnesty International pada Selasa menggesa supaya program pengagihan bantuan yang dianggap pusat penyembelihan ini dihentikan serta-merta.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka menyatakan tentera Israel dan kumpulan bersenjata yang sebahagiannya dikatakan disokong secara langsung oleh pihak berkuasa Israel kini kerap melepaskan tembakan ke arah orang awam yang terdesak demi mendapatkan bantuan untuk terus hidup.

Organisasi tersebut menyeru supaya mekanisme penyelarasan bantuan yang dipimpin oleh PBB diperkukuh dan sekatan Israel terhadap kemasukan bantuan serta bekalan perdagangan ke Gaza ditamatkan segera.

GENCATAN SENJATA

Semalam, Presiden AS, Donald Trump berkata, dalam tempoh terdekat dunia mungkin akan mengetahui bagaimana Hamas akan bertindak balas terhadap cadangan gencatan senjata dengan Israel di Gaza.

Pada Selasa, Trump mengumumkan Israel sudah bersetuju dengan syarat untuk melaksanakan gencatan senjata selama 60 hari di Gaza.
Beliau turut mengugut Hamas supaya menerima perjanjian itu sebelum keadaan menjadi lebih buruk.

Pengumuman itu dibuat ketika Trump bersiap sedia untuk menerima kunjungan rasmi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Rumah Putih, pada Isnin ini.

Presiden AS itu kini semakin mempertingkatkan tekanan terhadap kedua-dua pihak bagi mencapai satu perjanjian gencatan senjata serta pembebasan tebusan, demi menamatkan perang berpanjangan di Gaza.

Beliau turut memaklumkan untuk mengadakan perbincangan dengan Arab Saudi mengenai usaha memperluaskan Perjanjian Abraham, pemulihan hubungan diplomatik antara Israel dan beberapa negara Teluk yang dimeterai semasa penggal pertama pentadbirannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN