Iran mampu serang Israel setiap hari selama dua tahun

Iran mampu serang Israel setiap hari selama dua tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Iran masih memiliki keupayaan ketenteraan yang mencukupi untuk melancarkan serangan ke atas Israel setiap hari selama dua tahun, menurut penasihat kepada Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC).

Menurut Mejar Jeneral Ebrahim Jabbar, angkatan bersenjata negara itu berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi untuk menghadapi peperangan panjang dengan Israel.

“Ketika ini, gudang senjata, pangkalan peluru berpandu bawah tanah dan fasiliti kami amat besar sehingga kebanyakan kemampuan pertahanan dan peluru berpandu kami masih belum didedahkan.

“Sekiranya berlaku peperangan dengan Israel dan Amerika Syarikat (AS), kemudahan kami tidak akan kehabisan peluru walaupun melancarkan serangan setiap hari selama dua tahun,” katanya kepada agensi berita Mehr.

Sementara itu, penasihat tentera tertinggi kepada Ayatollah Ali Khamenei, Mejar Jeneral Yahya Rahim Safavi turut membuat kenyataan sama semalam.

“Israel tahu bahawa sebahagian pasukan kami, seperti Tentera Laut dan Pasukan Quds, masih belum memasuki medan perang, malah tentera darat juga belum digerakkan,” katanya.

Yahya berkata, Iran menghasilkan beberapa ribu peluru berpandu dan dron, dengan semua simpanan itu kini berada dalam keadaan selamat.

Konflik antara Israel dan Iran tercetus pada 13 Jun lalu apabila Israel melancarkan serangan udara ke atas lokasi ketenteraan, nuklear dan infrastruktur awam Iran, mengorbankan sekurang-kurangnya 935 orang serta mencederakan 5,332 yang lain.

Iran kemudian melancarkan serangan balas menggunakan peluru berpandu dan dron, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 29 orang serta mencederakan lebih 3,400 yang lain.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN