Hamas sedia mulakan rundingan gencatan senjata Gaza

Hamas sedia mulakan rundingan gencatan senjata Gaza

PENUNJUK perasaan mengibarkan bendera Palestin semasa demonstrasi menuntut gencatan senjata Gaza di Brussels, pada 11 Mei lalu.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Hamas mengemukakan respons positif terhadap cadangan gencatan senjata selama 60 hari dengan Israel di Gaza, sekali gus membuka laluan ke arah perjanjian untuk menamatkan konflik selepas berbulan-bulan rundingan gagal.

Dalam kenyataan kelmarin, kumpulan pejuang itu memaklumkan sudah menyerahkan maklum balas positif kepada pengantara dan bersedia memulakan rundingan mengenai mekanisme pelaksanaan rangka kerja tersebut.

“Pergerakan ini bersedia untuk terlibat serta-merta dan serius dalam pusingan rundingan mengenai mekanisme pelaksanaan cadangan gencatan senjata,” kata Hamas.

Sebelum ini, Israel menerima rangka kerja yang disokong oleh Amerika Syarikat (AS), bermakna kedua-dua pihak dijangka memulakan rundingan akhir dan terperinci sebelum perjanjian gencatan senjata dimeterai secara rasmi.

Pengantara Palestin-Amerika yang terlibat secara langsung dalam perbincangan dengan Hamas, Bishara Bahbah, memuji respons kumpulan itu dan percaya usaha menamatkan perang semakin hampir.

Beliau berkata, Hamas mencadangkan pindaan yang dianggap perlu dan tidak akan menghalang tercapainya perjanjian gencatan dalam minggu akan datang.

Sekutu Hamas, Jihad Islam, turut menyatakan sokongan terhadap rundingan gencatan senjata, tetapi menuntut jaminan bahawa Israel tidak akan menyambung semula pencerobohan selepas semua tebusan dibebaskan.

Dua gencatan senjata sebelum ini yang ditaja Qatar, Mesir dan AS menyaksikan penghentian sementara pertempuran, termasuk pertukaran tebusan dengan tahanan Palestin.

Kelmarin, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berikrar untuk membawa pulang semua tebusan yang masih ditahan di Gaza, selepas berdepan tekanan hebat daripada rakyatnya.

Pada masa sama, Presiden AS, Donald Trump, menjangkakan perjanjian Gaza mungkin dimeterai minggu depan dan menyatakan keyakinan terhadap gencatan senjata walaupun keadaan boleh berubah.

Beliau turut menyambut baik respons positif Hamas terhadap cadangan rundingan damai dan berharap konflik di wilayah itu dapat segera diselesaikan.- AFP/CNN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN