BRUSSELS: Kira-kira 2,300 orang maut akibat gelombang haba yang melanda 12 bandar utama di Eropah baru-baru ini, menurut analisis awal yang diterbitkan hari ini.
Kajian itu menyasarkan tempoh 10 hari yang berakhir pada 2 Julai, di mana sebahagian besar Eropah Barat dilanda cuaca panas melampau, dengan suhu melebihi 40 darjah Celsius di Sepanyol dan kebakaran hutan di Perancis.
Daripada anggaran 2,300 kematian dalam tempoh itu, sebanyak 1,500 daripadanya dikaitkan dengan perubahan iklim, yang menjadikan gelombang haba lebih teruk, menurut kajian dijalankan saintis Imperial College London serta London School of Hygiene and Tropical Medicine.
“Perubahan iklim menjadikan suhu lebih panas berbanding sepatutnya, dan ini menjadikan keadaan lebih jauh berbahaya,” kata penyelidik Imperial College London, Dr. Ben Clarke.
Kajian itu melibatkan 12 bandar termasuk Barcelona, Madrid, London dan Milan, di mana penyelidik menyatakan perubahan iklim meningkatkan suhu gelombang haba sehingga empat darjah Celsius.
Penyelidik menggunakan model epidemiologi yang diiktiraf serta data kematian sejarah untuk menganggar jumlah korban, termasuk disebabkan secara langsung oleh haba serta pendedahan yang memburukkan keadaan kesihatan sedia ada.
Bulan Jun 2025 direkodkan sebagai Jun ketiga paling dalam sejarah dunia, selepas bulan dua tahun berturut-turut sebelumnya, menurut Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus Kesatuan Eropah dalam buletin bulanan yang dikeluarkan hari ini.
Copernicus menjelaskan, Eropah Barat mengalami bulan Jun terpanas yang pernah direkodkan, dengan sebahagian besar rantau itu mengalami tekanan haba kuat, melebihi 38 darjah Celsius.
Sebelum ini, penyelidik dari institusi kesihatan Eropah melaporkan seramai 61,000 orang mungkin meninggal dunia akibat gelombang haba melampau melanda Eropah pada 2022.
Peningkatan suhu purata global berpunca daripada pengumpulan gas rumah rumah hijau di atmosfera, yang sebahagian besarnya akibat daripada pembakaran bahan api fosil.- AGENSI









