NEW DELHI: Seekor gajah berusia lebih 100 tahun dilaporkan mati di tengah India, menurut kenyataan pegawai hari ini.
Gajah, yang diberi nama Vatsala, mati pada Selasa di Rizab Harimau Panna, di negeri Madhya Pradesh.
Menurut kenyataan rasmi kerajaan negeri, Vatsala, yang sekian lama menjadi tarikan utama pelancong ke rizab berkenaan, dianggap sebagai ‘gajah betina tertua di Asia’.
“Disebabkan usia yang sudah lanjut, Vatsala kehilangan penglihatan dan tidak mampu berjalan jauh,” kata pegawai.
Ketua Menteri Madhya Pradesh, Mohan Yadav berkata, Vatsala bukan sekadar seekor gajah.
“Dia adalah penjaga senyap hutan kita, teman kepada beberapa generasi dan simbol emosi rakyat Madhya Pradesh.
“Dia mengetuai kumpulan gajah di Rizab Harimau dan sebagai ‘nenek’, menjaga anak-anak gajah dengan penuh kasih sayang,” tulis Yadav di platform X.
Pegawai berkata, Vatsala pada asalnya dibawa dari negeri Kerala di selatan India ke Narmadapuram, Madhya Pradesh, sebelum dipindahkan ke Rizab Harimau Panna.
India kini menempatkan lebih 60 peratus populasi gajah Asia dunia.
Pada 2022, populasi gajah di India direkodkan sebanyak 29,964 ekor.
Negara itu memiliki 33 rizab gajah merangkumi 14 buah negeri.- ANADOLU











