HARIDWAR: Sekurang-kurangnya enam maut akibat dipijak dalam insiden rempuhan di sebuah kuil Hindu terkenal di negeri Uttarakhand, utara India.
Rempuhan berlaku di tangga menuju ke Kuil Mansa Devi, yang terletak di tebing Sungai Ganges, dan turut mengakibatkan ramai cedera.
“Enam maut dan lebih 10 lagi cedera kini dirawat di hospital,” kata pegawai kanan polis bandar, Parmendra Dobhal kepada AFP.
Ketua Menteri Uttarakhand, Pushkar Singh Dhami berkata, operasi menyelamat dan bantuan sedang giat dijalankan susulan insiden rempuhan maut hari ini.
“Saya sentiasa berhubung dengan pihak pentadbiran tempatan dan pemantauan rapi terhadap situasi ini sedang dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan.
Insiden rempuhan maut ketika perayaan keagamaan sering berlaku di India.
Jun lalu, peningkatan jumlah orang ramai secara tiba-tiba ketika perayaan Hindu di Odisha mengakibatkan rempuhan yang meragut sekurang-kurangnya tiga nyawa dan mencederakan beberapa yang lain.
Pada bulan sebelumnya, enam maut akibat rempuhan di negeri barat Goa selepas ribuan orang berkumpul untuk upacara berjalan atas api.
Manakala pada Januari, sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh dalam kejadian rempuhan pada awal pagi semasa perayaan Kumbh Mela, di bandar Prayagraj, utara India.- AFP










