Petisyen Putra Heights ditolak, namun dibenarkan dibahas

DUN Selangor: Petisyen Putra Heights ditolak, namun dibenarkan dibahas

Petisyen Putra Heights
KEADAAN rumah dan kenderaan yang musnah di Taman Putra Harmoni, Putra Heights dalam kejadian letupan pip gas pada 1 April lalu. – UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Rayuan atau petisyen yang dibawa oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Dr. Afif Bahardin berhubung insiden letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lalu ditolak pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Speakernya, Lau Weng San berkata, bagaimanapun rayuan yang dibawa di bawah Peraturan 18, Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor itu boleh diambil isi kandungannya untuk dibahaskan selepas taklimat daripada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Menurutnya, kerajaan negeri akan mendengar dan menggulung perbahasan daripada keseluruhan ADUN Selangor berhubung insiden tersebut pada sidang kali ini.

“Akan ada perbahasan, saya difahamkan juga Menteri Besar akan berjumpa dengan ahli dewan (petang ini) untuk memberi taklimat. Selepas itu bila DUN bersidang semula, kita akan mengambil bahagian dalam perbahasan dan kerajaan perlu memberi penjelasan tentang apa yang dibahaskan,” katanya pada Sidang DUN Selangor, hari ini.

Terdahulu, isu petisyen dan rayuan tersebut menarik perhatian dewan selepas ia dibangkitkan oleh Dr. Afif; Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan ADUN Paya Jaras, Datuk Dr. Abdul Halim Tamuri.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin yang juga ADUN Hulu Kelang tidak bersetuju dengan petua dikeluarkan oleh Weng San berhubung status pengundian penduduk di Putra Heights dalam rayuan tersebut dan menegaskan Perkara 18 penting berbanding soalan-soalan kepada Menteri Besar.

“Letupan yang berlaku ia tidak kenal sama ada orang itu pengundi atau bukan. Persoalan di sini adalah soal keselamatan dan nyawa rakyat. Dalam, Peraturan 18(1) dan (2), tidak menetapkan jumlah rayuan yang perlu dikemukakan sama ada satu, 10, 19, 20 tetapi apabila ada rayuan ia mesti didengar.

“Mengikut peraturan tetap juga, rayuan diletakkan pada tahap yang jauh lebih tinggi daripada pertanyaan kepada Menteri Besar, sebab itu perkara sedemikian belum pernah berlaku, unprecedented, banyak dewan termasuk Dewan Rakyat tidak pernah membicarakan soal itu,” tegasnya.

Weng San kemudian menyatakan insiden letupan paip gas di Putra Heights akan dibahaskan, namun berhubung rayuan tersebut pihaknya juga membuat rujukan di negara-negara yang mengamalkan Parlimen Westminster untuk menguruskan rayuan atau petisyen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN