SHAH ALAM: Da’i Syed kembali ke penjara selepas Mahkamah Tinggi menolak rayuannya berhubung hukuman penjara atas sabitan terhadap pertuduhan merogol seorang wanita, tujuh tahun lalu.
Hakim Adlin Abdul Majid memutuskan demikian selepas meneliti hujahan kedua-dua perayu dan pendakwaan dalam permohonan rayuan sabitan dan hukuman terhadap pendakwah selebriti itu yang nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd. Shaiful, 31.
Hakim Adlin dalam penghakimannya memberitahu Hakim Mahkamah Sesyen tidak terkhilaf dalam keputusan sebelum ini sebaliknya pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah dalam kes tersebut.
Beliau dalam penghakimannya memberitahu, tidak terdapat sebarang penafian oleh tertuduh atau mangsa bahawa hubungan seks berlaku di antara mereka pada 11 September 2019.
“Perkara yang menjadi pertikaian adalah sama ada hubungan seks di antara tertuduh berlaku secara paksaan atau tanpa kerelaan mangsa.
“Merujuk kepada keadaan yang mana berlaku persetubuhan berlaku bertentangan dengan kemahuan atau tanpa kerelaan seseorang perempuan. Kes yang dikemukakan oleh pendakwaan adalah jelas iaitu persetubuhan di antara tertuduh dan mangsa berlaku tanpa kerelaan.
“Oleh demikian, mahkamah mendapati tidak terdapat kekhilafan dalam dapatan Hakim Mahkamah Sesyen berkaitan keterangan mangsa bahawa persetubuhan berlaku dengan paksaan dan tanpa kerelaan,” katanya, hari ini.
Jelasnya, keterangan tersebut bukanlah sesuatu yang unusually convincing dan tidak perlu disokong oleh keterangan lain.
Malah, Hakim Adlin turut menyatakan berdasarkan naratif kronologi kes yang dikemukakan oleh pihak perayu apabila menyebut kegagalan mangsa melarikan diri sebagai tindak balas untuk menyelamatkan diri tidak membuktikan ia berlaku tanpa paksaan.
“Mahkamah juga mendapati mesej-mesej yang ditukar (antara Da’i Syed dan mangsa) menunjukkan mangsa bukanlah seorang kekasih yang terperdaya, tetapi mangsa rogol yang cuba mendapatkan penyelesaian terhadap masalah dihadapi (mangsa).
“Hakim Mahkamah Sesyen juga mendapati pembelaan tertuduh pada dasarnya bersifat penafian dan terdapat percanggahan dalam keterangan-keterangan yang diberikan oleh tertuduh berkenaan kejadian yang berlaku,” ujarnya.
Justeru beliau memutuskan sabitan kesalahan terhadap Syed Shah Iqmal kekal dan hukuman yang dikenakan sebelum ini hendaklah dijalani bermula hari ini tanpa penggantungan.
Da’i Syed pada 30 Ogos 2024 dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah merogol seorang wanita dekat sebuah kondominium pada 2019.
Dalam prosiding tersebut Da’i Syed diwakili peguam Datuk Abu Bakar Isa Ramat dan dibantu oleh Muhammad Amin Othman, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff, Norelly Etasya Affriena Mohd. Zamri dan Nur Diana Ezlyn Nashim sementara pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Maizatul Munirah Abdul Rahman. – UTUSAN










