Pembangkang persoal keselamatan jajaran 2,600 km paip gas

DUN Selangor: Pembangkang persoal keselamatan jajaran 2,600 km paip gas

Paip gas
- Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Isu tanah lembut, lembab atau longgar yang dikatakan menjadi punca kepada tragedi letupan dekat Putra Heights pada 1 April lalu didakwa membimbangkan penduduk berhampiran sepanjang 2,600 kilometer (km) paip gas di seluruh negara.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau membangkitkan perkara tersebut kerana laporan siasatan yang didedahkan baru-baru ini tidak menyeluruh dan hanya merujuk kepada faktor fizikal dan struktur tanah semata-mata.

“Kerana bagi saya apabila sesuatu aset strategik itu hendak dipasang sudah tentu kajian dibuat bukan untuk satu atau tiga tahun, tetapi bagaimana hayat paip itu untuk 50 tahun, 100 tahun.

“Saya tidak mengatakan tidak dibuat, tetapi kerana laporan itu tidak konklusif, komprehensif, maka pertanyaan itu timbul kalau ia tidak dilakukan di Putra Heights, apakah perkara itu boleh berlaku di sepanjang 2,600 km jajaran paip gas? Itu pertanyaan yang sedang ditanya oleh rakyat,” katanya ketika membahaskan isu tragedi Putra Heights pada Sidang DUN Selangor hari ini.

Selain itu, beliau turut meminta Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menjelaskan kewujudan jengkaut yang didakwa terbenam akibat letupan di tapak kejadian

“Walaupun kemudian dia memberitahu kita twisted kenyataannya selepas Ketua Polis Selangor mengeluarkan kenyataan pada hari berkenaan apabila laporan awal polis mengesahkan ada ekskavator yang terkambus di tapak tersebut.

“Kalau itu kenyataan daripada Ketua Polis Selangor, yang mana laporan itu dimuatkan di dalam laporan Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (JKKP). Mengapa tidak dinyatakan? Siapa yang membawa jengkaut tersebut, bagaimana kelulusan diberikan? Syarikat mana?” soalnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, insiden letupan pada 1 April lalu itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 separa musnah, 57 terkesan tetapi tidak terbakar, manakala 218 rumah tidak terjejas termasuk di Kampung Tengah, Puchong. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN