DUN Kelantan: Milik rizab tanah Melayu terbanyak, Kelantan tidak pernah tukar status

DUN Kelantan: Milik rizab tanah Melayu terbanyak, Kelantan tidak pernah tukar status

MOHD. Nassuruddin Daud.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kelantan yang memiliki tanah rizab Melayu terbanyak di negara ini iaitu seluas 1.36 juta tidak pernah menukar status tanah berkenaan atau menjualnya kepada pihak lain.

Menteri Besar Datuk Mohd. Nassuruddin Daud bagaimanapun berkata, sebahagian tanah berkenaan hanya diberi pajakan untuk tempoh tertentu.

“91 peratus daripada keluasan Kelantan adalah membabitkan tanah rizab Melayu. Kelantan boleh dikatakan antara yang tertinggi memiliki Tanah Rizab Melayu berbanding Perak (lebih 955,000 hektar), Kedah (829,000 hektar), Johor (lebih 561,000 hektar) dan Pahang (444,000 hektar).

“Saya mahu perbetulkan fakta, kita tidak menjual atau menukar status tanah rizab Melayu. Memang ada yang kita beri tempoh pajakan kepada syarikat tertentu termasuk untuk Projek Ladang Rakyat selama 30 atau 60 tahun,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Mohd. Syahbuddin Hashim (BN-Galas) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, di sini, hari ini.

Mohd. Syahbuddin sebelum itu bangkit mengemukakan soalan status tanah rizab Melayu yang diberi pajakan kepada syarikat tertentu selama 30 hingga 60 tahun dan adakah status tanah ditukar.

Mohd. Nassuruddin memberitahu, apabila tempoh pajakan itu tamat, tanah itu kembali menjadi milik kerajaan negeri.

“Soal, sambung atau tidak tempoh pajakan itu bergantung kepada kerajaan yang mentadbir ketika itu” ujarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti berkata, memberi pajakan kepada syarikat tertentu adalah menjadi dasar seluruh negara.

“Untuk membangunkan negeri, kita beri pajakan kepada pelabur dengan tempoh tertentu dan ini adalah dasar seluruh negara, namun statusnya tetap Tanah Rizab Melayu,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN