Dua pekerja Myanmar diserang kerana disangka warga Kemboja

Dua pekerja Myanmar diserang kerana disangka warga Kemboja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Sekumpulan lelaki Thailand menyerang dua warga Myanmar di sebuah pasar di Bangkok kerana tersilap menyangka mereka adalah rakyat Kemboja.

Insiden itu menerima kecaman meluas daripada netizen Thailand yang menyeru supaya keamanan dan perpaduan dikekalkan antara semua kaum dan rakyat.

Serangan fizikal itu menjadi perhatian selepas laman Facebook Cnew Official memuat naik gambar dan rakaman video kejadian berkenaan semalam.

“Kejadian ini baru sahaja berlaku di Pasar Sai Nate, kawasan Ram Inthra. Sekumpulan lelaki Thailand yang mendakwa sebagai patriot menyerang dua pekerja semasa mereka sedang membeli makanan.

“Mereka sebenarnya warga Myanmar, bukan rakyat Kemboja. Ini tidak boleh diterima,” menurut kapsyen hantaran tersebut.

Dalam video tersebut, kumpulan lelaki itu dilihat menghampiri dua pekerja yang memakai baju berwarna jingga dan bertanya ‘kamu dari mana?’, sebelum mangsa sempat menjawab, salah seorang daripadanya ditumbuk di muka sehingga rebah.

Seorang lagi lelaki menyoal sekali lagi kewarganegaraan mereka, dan mangsa menyatakan mereka adalah warga Myanmar, sebelum sekumpulan lelaki itu berlalu pergi.

Pengurus kepada dua pekerja warga Myanmar itu memberitahu program berita Hone Krasaw, dia menemani mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Khannayao selepas serangan tersebut.

Dia turut menggesa rakyat Thailand agar tidak melakukan keganasan sama, sambil menegaskan pekerja migran tersebut tiada kaitan dengan sebarang konflik di sempadan.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN