Bekas pelumba basikal negara didakwa amang seksual pelatih

Bekas pelumba basikal negara didakwa amang seksual pelatih

NOR Effandy Rosli hadir ke Mahkamah Sesyen Ampang semalam bagi menghadapi pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelatih tahun lalu. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jurulatih berbasikal, Nor Effandy Rosli, 58, didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang di sini semalam atas pertuduhan amang seksual fizikal terhadap seorang pelatih remaja perempuan, tahun lalu.

Nor Effandy yang juga bekas pelumba berbasikal lebuh raya negara bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim, Norshila Kamarudin.

Mengikut pertuduhan, Nor Effandy didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap pelatih di bawah bimbingannya yang ketika kejadian berusia 15 tahun di stor simpanan basikal di Taman Desa Keramat, Jalan AU2C, di sini, pada pukul 6 petang, 6 Jun tahun lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, Nor Effandy boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Berdasarkan Seksyen 16(1), tertuduh juga boleh dikenakan hukuman penjara tambahan tidak lebih lima tahun serta tidak kurang dua sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie mencadang­kan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Peguam bela, Hamdan Hamzah yang mewakili tertuduh memohon agar jaminan itu dikurangkan kepada RM5,000 memandangkan anak guamnya itu kini bekerja sebagai pembantu penguat kuasa di sebuah agensi dengan gaji RM5,000 sebulan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 de­ngan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah, me­lapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan dilarang mengganggu atau menghubungi mang­sa dalam apa jua bentuk yang boleh menjejaskan perjalanan kes.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 1 Ogos ini.

Sebagai rekod, tertuduh pernah mewakili negara dalam Le Tour de Langkawi (LTdL) selama 10 tahun berturut-turut dari 1996 hingga 2005 selain pemegang pingat pe­rak Sukan Komanwel 1998.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN