DHAKA: Kerajaan sementara Bangladesh menamatkan protokol lama yang mengarahkan pegawai wanita dipanggil sebagai ‘tuan’, dengan menyifatkannya sebagai amalan aneh daripada pemerintahan bekas Perdana Menteri, Sheikh Hasina.
Pentadbiran sementara diketuai penerima Hadiah Nobel Keamanan, Muhammad Yunus, mengambil alih kuasa tahun lalu selepas Hasina digulingkan oleh pemberontakan pelajar, memaksanya melarikan diri ke India.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan pada Khamis, kerajaan memaklumkan pemansuhan arahan yang mewajibkan penggunaan gelaran tuan untuk pegawai wanita dalam perkhidmatan awam.
“Sepanjang hampir 16 tahun pemerintahan autokratik Sheikh Hasina, satu arahan dikeluarkan yang mewajibkan pegawai awam memanggil beliau sebagai tuan.
“Amalan itu turut melibatkan pegawai wanita berpangkat tinggi lain, yang pernah dan masih dipanggil tuan serta jelas aneh,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan satu jawatankuasa baharu dibentuk bagi menyemak semula arahan alin berkaitan dengan protokol kerajaan.
Seorang birokrat wanita memberitahu AFP, keputusan tersebut dibuat kerajaan Muhammad tanpa berunding dengan pegawai wanita.
“Tradisi ini bermula semasa era pemerintahan Sheikh Hasina, tetapi ramai pegawai wanita menyokongnya kerana menganggap gelaran tersebut bersifat neutral dari segi jantina,” kata pegawai yang enggan dikenali.
Hasina, 77, kini berdepan beberapa pertuduhan di Tribunal Jenayah Antarabangsa Bangladesh atas dakwaan jenayah yang dilakukan semasa tindakan keras terhadap protes pelajar tahun lalu.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sehingga 1,400 orang terbunuh antara Julai hingga Ogos 2024.
Pendakwa raya berkata, Hasina bertanggungjawab terhadap keganasan yang berlaku.- AFP










