WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan ke atas satu rangkaian penyeludupan minyak Iran yang menyamar sebagai minyak Iraq, dengan tindakan sama turut dikenakan terhadap sebuah institusi kewangan yang dikawal Hezbollah.
Menurut Jabatan Perbendaharaan AS, rangkaian yang diketuai warga Iraq-Britain, Salim Ahmed Said, membeli dan menghantar minyak Iran bernilai berbilion dolar sejak tahun 2020, dengan menyamar sebagai minyak Iraq atau mencampurkannya agar kelihatan seolah-olah berasal dari negara tersebut.
“Jabatan Perbendaharaan akan terus menyasarkan sumber pendapatan Teheran dan memperhebat tekanan ekonomi bagi menggagalkan akses rejim itu kepada sumber kewangan yang digunakan untuk kegiatan destabilisasi di rantau ini,” kata Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent.
Sejak sekian lama, Washington mengenakan pelbagai sekatan terhadap eksport minyak Iran berikutan program nuklear republik itu dan sokongannya terhadap kumpulan pejuang di seluruh Asia Barat.
Pada penghujung 2024, Reuters mendedahkan satu rangkaian penyeludupan bahan api yang menjana sekurang-kurangnya AS$1 bilion (RM4.7 bilion) setahun untuk Iran dan sekutunya berkembang pesat di Iraq sejak 2022.
Sekatan yang diumumkan pada kelmarin dibuat selepas AS melancarkan serangan pada 22 Jun lalu terhadap tiga lokasi nuklear Iran, termasuk kemudahan pengayaan paling dalam milik republik itu di Fordow.
Menurut Pentagon pada Rabu, serangan tersebut dipercayai melambatkan kemajuan program nuklear Iran sehingga dua tahun jauh lebih lama berbanding anggaran awal yang lebih berhati-hati.
Menurut Jabatan Perbendaharaan AS, syarikat milik Salim dan kapal di bawah kawalannya mencampur minyak Iran dengan Iraq sebelum menjualnya kepada pembeli Barat melalui negara terbabit atau Emiriah Arab Bersatu (UAE), menggunakan dokumen palsu bagi mengelak daripada dikesan.
Syarikat itu, yang dahulunya dikenali sebagai Al-Iraqia Shipping Services & Oil Trading (AISSOT), disyaki terlibat dalam penyeludupan minyak yang menguntungkan kerajaan Iran dan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), sebuah entiti yang telah disenaraikan oleh Washington sebagai organisasi pengganas.
Sekatan yang dikenakan akan membekukan sebarang aset individu dan entiti terbabit yang berada dalam bidang kuasa AS, serta melarang rakyat Amerika daripada menjalankan sebarang urusan perniagaan dengan mereka.- AGENSI









