Anwar mohon maaf

Anwar mohon maaf

anwar
ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon maaf ke­­­rana mengambil masa yang la­­­ma untuk menunaikan janji me­nurunkan harga petrol bagi me­ringankan beban sara hidup rakyat.

Perdana Menteri berkata, beliau sedar bahawa harga petrol RON95 di pasaran menjadi antara punca keluhan rakyat, namun penurunan harga mengambil masa panjang disebabkan pelbagai kekangan termasuk hutang tinggi dan ekonomi malap.

Katanya, beliau terpaksa menarik kemasukan pelabur ke da­lam negara bagi memacu pertumbuhan ekonomi, seterusnya membolehkan harga petrol diturunkan sebanyak 6 sen kepada RM1.99 daripada RM2.05 seliter, dengan perincian diumumkan menjelang akhir September ini.

“Saya telah berikhtiar, saya min­­ta maaf kerana mengambil masa lebih panjang (kerana) hu­tang tinggi kemudian ekonomi malap jadi saya terpaksa ta­rik pelaburan masuk, jumlah pe­ker­jaan, AI (kecerdasan buatan) dan sebagainya.

“Sekarang saya rasa saya bersedia untuk melihat keper­luan menurunkan sedikit har­ga minyak RON95 daripada RM2.05 sekarang, tetapi harga kos pasaran masih RM2.50 dan sebelum akhir September saya akan pastikan pelaksanaan me­nurunkan harga minyak RON95 kepada RM1.99.

“Penurunan yang agak tinggi walaupun melibatkan kos kepada kerajaan yang bertambah (namun) ia akan memberi manfaat kepada 18 juta pemandu kereta, penunggang motosikal, belia seawal 16 tahun dan juga pengusaha gig,” katanya dalam pengumuman khas Penghargaan Untuk Rak­yat Malaysia, semalam.

Penurunan RON95 merupakan satu daripada lima ikhtiar segera kerajaan, termasuk pemberian bantuan RM100 secara one-off, bagi meringankan beban sara hidup serta sebagai penghargaan dan meraikan rakyat.

Tiga lagi ikhtiar kerajaan untuk membantu rakyat ialah memperbanyak Jualan Rahmah Madani, mengekalkan kadar tol dan mengisytiharkan cuti tambahan pada 15 September sempena Sambutan Hari Malaysia tahun ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, penurunan harga minyak RON95 adalah sejajar dengan ikhtiar kerajaan untuk mengoptimumkan sumber negara bagi manfaat rakyat dan mengurangkan pembaziran subsidi kerana ia tidak melibatkan warga asing.

Perdana Menteri turut mengumumkan bantuan RM100 secara one-off kepada semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas melalui program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sempena Hari Kebangsaan pada 31 Ogos depan.

Beliau berkata, bantuan itu boleh dibelanjakan mulai 31 Ogos sehingga 31 Disember 2025 dengan menggunakan MyKad bagi membeli barangan asas di lebih 4,100 kedai termasuk pasar raya utama seperti Mydin, Lotus, Econsave dan 99Speedmart serta kedai-kedai runcit di semua daerah seluruh negara.

Katanya, bantuan itu diberikan secara individu dan bukannya isi rumah dengan jangkaan 22 juta rakyat mendapat manfaat, melibatkan peruntukan RM2 bilion.

“Ini bermakna, jumlah peruntukan Skim Tunai Rahmah (STR) dan SARA meningkat da­ri­pada RM13 bilion kepada RM15 bilion untuk 2025,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga bersetuju menangguhkan kenaikan kadar tol di 10 lebuh raya yang dijadualkan berlaku kenaikan pada tahun ini dengan menanggung kos kenaikan lebih RM500 juta.

“Ini antaranya melibatkan Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuh­raya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) dan Lebuhraya KL-Putrajaya (MEX),” katanya.

Beliau juga mengumumkan bahawa kerajaan akan me­ningkatkan peruntukan Jualan Rahmah Madani 2025 kepada RM600 juta daripada RM300 juta yang disediakan sebelum ini, bagi memperbanyak capai­an program berkaitan selain memastikan kekerapan dan peluasan kawasan.

“Peruntukan tambahan ini antaranya akan menambah ke­kerapan dan memperluas jumlah lokasi di seluruh negara meliputi kesemua 600 Dewan Undangan Negeri. Ini termasuk memperbanyak jenis barangan untuk memberi pilihan yang lebih meluas kepada rakyat,” katanya.

Terakhir, beliau mengumumkan bahawa 15 September 2025, sebagai hari kelepasan am tambahan sempena Sambutan Hari Malaysia sebagai menghargai ukhuwah perpa­duan dan keistimewaan pembentukan Malaysia.

“Ini juga bagi memberi galakan agar rakyat menjalinkan silaturahim sesama keluarga di kampung atau meluangkan masa bercuti di dalam negara,” katanya.

Perdana Menteri berkata, ke­rajaan juga akan memper­kenalkan beberapa langkah dan ikhtiar baharu menerusi Belanjawan 2026 yang akan diumumkan pada Oktober nanti. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×