Tragedi pagi Aidiladha, lima sekeluarga maut nahas

Tragedi pagi Aidiladha, lima sekeluarga maut nahas

KEADAAN Perodua Bezza yang remuk dalam kemalangan di Kilometer 7, Jalan Jerantut-Maran berdekatan Jerantut Feri di Jerantut, Pahang. – IHSAN JBPM PAHANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Hasrat lima sekeluarga pertama kali menyambut Hari Raya Aidiladha di rumah ibu saudara mereka di Kampung Paya Gunung di sini, berakhir tragedi apabila mereka maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 7, Jalan Jerantut-Maran di sini, semalam

Mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira pukul 12.40 te­ngah malam itu ialah Mohamad Ikmal Ishak, 26, dan isterinya, Nur Arfiqah Aziz Jaafar, 23; serta tiga adik Nur Arfiqah iaitu Mohammad Zulkifli, 21; Mohamad Azizul Hakimi, 19, dan Nurul Hazwani, 17.

Ibu saudara mereka, Norha­yati Ismail, 60, berkata, Nur Arfiqah bersama suami dan tiga adiknya pertama kali datang ke Jerantut untuk menyambut Aidil­adha.

Katanya, Nur Arfiqah sempat bergurau dengannya yang dipanggil Mak Ngah, sebelum memulakan perjalanan ke Kampung Paya Gunung dari Bota, Perak, petang semalam.

“Dia (Nur Arfiqah) memberitahu sudah bertolak ke Pahang, tetapi sebenarnya mereka belum berlepas dan menghantar gambar sedang mengemas barang ke dalam kereta kepada seorang ahli keluarga di sini, antara gurauan pertama. Selepas beberapa jam perjalanan, saya menghubungi Nur Arfiqah dan dia juga bergurau memberitahu sudah sampai di Jerantut.

“Saya difahamkan mereka berlima berlepas dari Bota, Perak, kira-kira pukul 6 petang semalam mengikut laluan Bukit Fraser dan Benta. Kira-kira pukul 12.35 tengah malam, saya menghubungi anak saudara, dia memberitahu mereka sudah sampai di Jerantut, tetapi tidak tahu arah jalan masuk ke Kampung Paya Gunung,” katanya di pekarangan Unit Forensik, Hospital Jerantut di sini.

Menurut Norhayati, dia memberikan panduan jalan masuk ke Kampung Paya Gunung, tetapi ketika sedang bercakap tiba-tiba talian bertukar senyap.

“Saya memanggil berkali-kali dan Nur Arfiqah tidak menjawab, tetapi ada mendengar suara orang menyatakan ‘ada orang pengsan’ dan dituruti memberitahu ada kemalangan dan mulalah mengesyaki sesuatu kejadian tidak diingini berlaku. Saya terus memberitahu suami, Arif Shah Noh supaya keluar mencari mereka.

“Dalam tempoh kira-kira 10 minit, suami menghubungi saya dan memberitahu kemalangan jalan raya tidak jauh masuk ke kampung ini. Apabila didekati kelihatan kereta Perodua Beza yang mereka naiki remuk dan dapat melihat mangsa tersepit serta tercampak keluar.

“Saya mulai berasa lemah dan tidak dapat berkata apa-apa cuma mampu menyuruh anak, Muhammad Azuwan pergi melihat kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Azuwan berkata, ketika sampai di tempat kejadian kira-kira 500 meter dengan persimpangan masuk ke Kampung Paya Gunung, dia terkejut dan terkedu melihat kelima-lima sepupunya sudah tidak bernyawa.

“Pemandu, Mohamad Ikmal tersepit di bahagian depan dan Nur Arfiqah di sebelahnya. Seorang lagi saya nampak di bahagian belakang juga sudah tidak bernyawa.

“Saya diberitahu orang awam di tempat kejadian, dua lagi mangsa, seorang lelaki dan perempuan tercampak keluar dan cuba mencari di sekeli­ling, akhirnya bertemu mayat mereka tidak jauh dari kereta,” katanya.

Katanya, dia menangis melihat kejadian itu dan dalam sedih, mengambil kain dalam beg menutup mayat sepupunya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Zukri Muhammad mengesahkan kejadian membabitkan ke­reta Perodua Bezza dengan Toyo­ta Alphard di Kilometer 7, Jalan Jerantut-Maran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN