KLANG: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengisytiharkan Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu sebagai Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS).
Baginda yang juga merupakan Canselor UPM berkenan kampus universiti itu dijenamakan semula sesuai dengan peranannya sebagai institusi pendidikan tinggi (IPT) yang memangkin pembangunan negara terutama di Sarawak.
“UPM Kampus Bintulu yang bukan sahaja menjadi pusat kecemerlangan dalam bidang pertanian, perhutanan dan keterjaminan makanan, tetapi juga muncul sebagai pemangkin pembangunan negara terutamanya di Sarawak serta menjadi institusi berdaya saing di rantau Borneo dan antarabangsa.
“Beta berharap, usaha dan komitmen UPM dapat diteruskan untuk membangun bakat dan kepakaran bagi kemajuan sosio ekonomi negara, terutamanya di Sarawak melalui pelan tindakan Blueprint Keterjaminan Makanan UPM yang dibangunkan,” titah baginda pada Majlis Pengisytiharan UPMS, hari ini.
Sultan Sharafuddin menambah, baginda menghargai sokongan diberikan oleh pengurusan tertinggi UPM, Kerajaan Sarawak dan Kementerian Pendidikan Tinggi dan menyifatkan ia sebagai amat penting dalam memperluas akses kepada pendidikan berkualiti dan memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara.
Sementara itu, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang turut hadir pada istiadat tersebut memaklumkan penjenamaan UPMS signifikan bagi negeri itu yang wujud di sana sejak 1974 sekali gus menjadikan ia sebagai universiti tertua beroperasi lebih 50 tahun di sana.
“Pemerkasaan UPMS amat selari dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030), khususnya dalam sektor pertanian, perhutanan, dan tenaga boleh diperbaharui. Inisiatif yang membanggakan ialah pelaksanaan projek AgriHub@Gedong, hasil kerjasama strategik antara Pejabat Premier Sarawak dan UPMS.
“Projek itu bertujuan menerajui transformasi kegiatan penanaman padi di Lubok Punggor, Gedong, dan merupakan titik permulaan penting dalam usaha membangunkan Sarawak sebagai hab pengeluaran padi berimpak tinggi di peringkat nasional,” katanya.
Jelas Abang Johari, Kerajaan Sarawak sentiasa komited dalam memajukan bidang pendidikan tinggi dan penyelidikan strategik yang selari dengan keperluan Sarawak dan aspirasi pembangunan lestari. – UTUSAN