ALOR SETAR: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah semangat hijrah yang menjadi asas kebangkitan umat Islam perlu dihayati bukan sekadar kenangan sejarah tetapi obor yang membakar azam dan mendorong perubahan dalam diri dan masyarakat.
Titah Sultan Kedah, peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah adalah lambang pengorbanan, kecekalan dan kepimpinan luar biasa yang perlu dijadikan teladan dalam menghadapi cabaran dunia moden hari ini yang menunjukkan pentingnya perancangan teliti, kekuatan iman serta sokongan padu masyarakat dalam membina tamadun Islam berdaya tahan.
“Maka dalam menghadapi cabaran semasa seperti keruntuhan moral, gejala sosial dan perpecahan institusi keluarga, kita perlu kembali meneladani semangat dan nilai murni yang ditunjukkan dalam peristiwa hijrah.
“Sambutan Maal Hijrah bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya medan untuk umat Islam menilai kembali hala tuju kehidupan dan memperbaharui azam dan tekad ke arah perubahan positif,” titah baginda pada Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kedah 1447 Hijrah, di sini semalam.
Titah baginda, hijrah sebenar bukan semata-mata perpindahan secara fizikal tetapi melibatkan perubahan minda, penyucian jiwa dan pembentukan peribadi unggul berlandaskan syariat serta berharap ia menjadi titik tolak peningkatan jati diri, pengukuhan iman dan pengamalan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian.
Sementara itu, tokoh akademik disegani dalam bidang arkeologi, Prof. Datuk Dr. Mokhtar Saidin dipilih Tokoh Maal Hijrah sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Kedah bagi tahun 1447 Hijrah semalam.
Sosok utama perintis kepada penemuan Tamadun Kedah Tua yang bertapak di Sungai Batu, Lembah Bujang sejak kurun kelapan sebelum Masihi itu menerima anugerah berkenaan daripada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
Mokhtar, 62, menganggap anugerah itu sebagai pengiktirafan dalam kerjayanya.
“Bila dimaklumkan saya terkejut, selalunya anugerah ini diberikan kepada tokoh agama. Ini kali pertama cendekiawan yang menjalankan penyelidikan menerima anugerah ini,” ujarnya.
“Saya rasa ia sesuatu yang sangat baik untuk mengangkat tokoh akademik kerana bidang ilmu adalah asas kepada kemajuan,” katanya.
Sultan Kedah turut berkenan menyampaikan Anugerah Masjid Terbaik Kategori Bandar kepada Masjid Jamek Badlishah, Yan dan Luar Bandar untuk Masjid Nurul Ehsan Kuala Ketil, Baling. – UTUSAN










