KUALA TERENGGANU: Komitmen berterusan dalam mengekalkan standard halal, kualiti makanan dan kecemerlangan perkhidmatan membolehkan Bayu Restaurant di Primula Beach Hotel, di sini dinobatkan penerima Anugerah Premis Makanan Halal Terbaik sempena Sambutan Maal Hijrah 1448H/2026 Peringkat Negeri Terengganu.
Pengurus Besar Primula Beach Hotel, Suaibah Harun berkata, pengiktirafan itu adalah pencapaian bersejarah buat Bayu Restaurant kerana ia kali pertama restoran tersebut menerima anugerah berprestij berkenaan di peringkat negeri.
Katanya, kejayaan tersebut membuktikan komitmen seluruh warga kerja dalam memastikan setiap aspek operasi termasuk penyediaan makanan, kebersihan premis dan perkhidmatan pelanggan sentiasa mematuhi piawaian halal yang ditetapkan.
“Anugerah ini menjadi bukti bahawa Bayu Restaurant bukan sahaja menitikberatkan aspek halal, malah sentiasa berusaha memberikan pengalaman menjamu selera yang berkualiti kepada pelanggan.
“Kejayaan ini adalah hasil usaha kolektif seluruh warga kerja yang sentiasa komited mengekalkan standard perkhidmatan terbaik,” katanya.
Beliau berkata, Bayu Restaurant mengekalkan Pensijilan Halal Malaysia sejak 2010 dan sentiasa memperkukuh amalan terbaik dalam penyediaan makanan serta perkhidmatan.
Menurutnya, pihak hotel turut melaksanakan proses transformasi restoran itu pada 2024 bagi menawarkan suasana yang lebih moden, selesa dan mesra pelanggan tanpa mengabaikan identiti serta kualiti perkhidmatan yang menjadi keutamaan.
“Pihak hotel akan terus meningkatkan mutu perkhidmatan bagi memastikan Bayu Restaurant kekal sebagai antara destinasi pilihan pengunjung dan premis makanan halal berkualiti di Terengganu,” katanya.
Kejayaan itu melayakkan pihak restoran menerima sijil penghargaan dan wang tunai berjumlah RM3,000 yang disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar. – UTUSAN











