NEW YORK: Ketua Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini, menyifatkan sistem agihan bantuan baharu di Gaza sebagai ‘medan pembunuhan’ apabila lebih 400 penduduk Palestin kelaparan terbunuh dalam tempoh sebulan.
Lazzarini dalam satu kenyataan tegas di platform X berkata, sistem dikendalikan Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) dan digerakkan Israel menjadi punca kematian ratusan rakyat yang berusaha mendapatkan makanan untuk diri dan keluarga mereka.
“Lebih 400 orang yang kelaparan dilaporkan terbunuh sejak ia mula beroperasi hanya sebulan lalu. Mereka ditembak ketika cuba mendapatkan makanan,” katanya.
Beliau merujuk kepada beberapa insiden serangan tentera Israel berhampiran kawasan agihan bantuan yang dikendalikan GHF, sebuah organisasi swasta yang disokong Israel dan AS.
Lazzarini turut mendedahkan maklumat dari lapangan menunjukkan askar Israel melepaskan tembakan secara melulu ke arah orang ramai yang berkumpul untuk mendapatkan bantuan.
Ketua UNRWA itu turut menyelar sistem GHF sebagai bercanggah dengan prinsip kemanusiaan sejagat, menyatakan ia tidak diwujudkan untuk mengatasi masalah kebuluran dan sering menggunakan alasan pengalihan bantuan sebagai justifikasi, walaupun dakwaan tersebut belum pernah dibuktikan.
Lazzarini menyifatkan pelaksanaan GHF sebagai satu keji dan menuntut supaya sistem bantuan dikembalikan kepada agensi yang diketuai PBB, termasuk UNRWA.
Beliau turut menggesa gencatan senjata segera dan penamatan sekatan ke atas Gaza agar bekalan asas seperti makanan, ubat-ubatan, sabun, dan bahan api dapat disalurkan semula kepada penduduk yang terdesak.
Sebelum ini, pelbagai pihak termasuk Setiausaha Agung PBB dan pertubuhan bukan kerajaan seperti Doctors Without Borders (MSF) mengecam tindakan Israel mempergunakan bantuan kemanusiaan sebagai senjata tekanan ke atas rakyat Gaza.
GHF yang mula beroperasi akhir Mei lalu kini menjadi simbol kecaman global setelah ratusan nyawa rakyat Palestin terkorban ketika cuba mendapatkan bantuan di pusat-pusat agihan. -AGENSI











