PEKAN: Serawa durian menjadi juadah terakhir pasangan suami isteri, Jamal Azizul Samat, 44, dan Lizawati Abdullah, 41, sebelum maut dalam kemalangan ngeri di Batu 8, Lepar, di sini sekitar pukul 10 malam tadi.
Adik Jamal Azizul, Suriati, 40, berkata, abang kedua daripada 10 beradik itu ada menghubunginya sekitar pukul 5 petang semalam memintanya masak serawa durian.
Katanya, arwah sudah lama menyatakan hasrat untuk makan durian dan akhirnya tercapai namun tidak menyangka ia kali terakhir buatnya.
“Daripada Hari Raya lagi dia dah cakap nak makan. Tapi masa tu tak sempat sebab ada kenduri. Petang semalam, lepas sahaja arwah dapat gaji, dia terus ke Kuantan beli durian. Lebih RM300 dia belanja untuk lima biji sahaja.
“Dia cakap durian tu sedap, berbaloi walaupun mahal. Dia makan bersungguh-sungguh dengan isteri. Kakak ipar pula beritahu itu kali pertama dia makan serawa durian dan tidak pernah makan sebelum ini. Tak sangka itu yang terakhir,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Bercerita lanjut, Suriati berkata, dalam pertemuan malam semalam, arwah Jamal Azizul sempat sempat berbincang tentang rancangannya untuk mengajak adik-beradik berkumpul di rumah rakit dan memancing.
“Dia memang jenis perancang. Kalau memancing pun dia akan sewa dan ajak semua adik-beradik. Walaupun ada yang tak datang, dia tetap rancang. Memang rapat hubungan kami,” katanya.
Sementara itu, kemalangan terbabit menyebabkan empat orang anak pasangan tersebut, Nursyammie, 17, Muhammad Syamril Alif, 15, Norsyamira, 13, dan Muhammad Syakir Iman, 6, yatim piatu sekelip mata.
Tiga dari anak mereka, Nursyammie, Muhammad Syamril Alif dan Muhammad Syakir Iman yang bersama pasangan itu ketika kejadian cedera parah dan sedang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.
Sementara anak ketiga mangsa, Norsyamira, menetap bersama neneknya yang merupakan ibu Lizawati, Siti Manap, 60, di Felda Keratong 9, Rompin, sejak lebih setahun yang lalu. – UTUSAN