TEMERLOH: Parlimen Temerloh merupakan kerusi tradisi yang ditandingi PKR sejak 2008 dan mempunyai sejarah panjang perjuangan sejak penyertaan parti itu dalam arena politik nasional.
Ketua Penerangan PKR Cabang Temerloh, Abdullah Hakim Ahmad berkata, mana mungkin Parti Amanah Negara (Amanah) mengaku Parlimen Temerloh kerusi tradisi sedangkan hakikatnya PKR bertanding di situ dalam setiap pilihan raya sejak awal penubuhan parti tersebut.
“Dakwaan tersebut bukan sahaja tidak berasas, malah tidak selari dengan realiti sejarah politik di Temerloh. Tambahan pula, logiknya usia Parti Amanah yang masih muda tidak munasabah menjadikan tuntutan sebagai “kerusi tradisi”.
“Sebaliknya, PKR mempunyai nilai sentimental yang jauh lebih dekat dengan Temerloh kerana PKR Pahang sendiri telah ditubuhkan dan dirasmikan di kawasan ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Abdullah Hakim berkata, atas dasar setia kawan, PKR sudah banyak bertolak ansur dan berlapang dada dan memberi peluang rakan komponen bertanding di kerusi tersebut.
“Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) (2018), PKR Cabang Temerloh dengan semangat setia kawan telah memberi sokongan penuh kepada Amanah untuk bertanding di kerusi Temerloh.
“Sokongan ini membuahkan hasil apabila Amanah berjaya meraih kemenangan. Semangat setia kawan ini bukti komitmen PKR terhadap gabungan Pakatan Harapan (PH) dan kesediaan untuk berkorban demi kejayaan bersama.
“Namun, pada PRU15 (2022), Amanah sekali lagi diberi peluang untuk mempertahankan kerusi tersebut. PKR Cabang Temerloh turut bertungkus lumus membantu jentera pilihan raya, namun kerusi tersebut akhirnya tewas kepada pihak lawan. Kekalahan ini membuka ruang untuk menilai semula status kerusi Temerloh.
“Oleh itu, adalah wajar peluang diberikan kepada PKR untuk bertanding pada PRU16 akan datang. Walaupun isu pengagihan kerusi menjadi perbincangan, hakikat yang perlu diterima ialah khidmat kepada rakyat Temerloh adalah keutamaan. PKR Cabang Temerloh menekankan bahawa perjuangan sebenar adalah memastikan rakyat mendapat pembelaan dan suara yang kuat di Parlimen,” katanya.
Beliau menegaskan, PKR Cabang Temerloh mempunyai keahlian hampir 6,000 orang dan ranting aktif di seluruh pusat daerah mengundi (PDM) sekali gus membuktikan parti itu mempunyai jentera serta akar umbi yang kukuh untuk bertanding dan memenangi kerusi tersebut.
Menurutnya, dengan kekuatan tersebut, PKR yakin mampu menggalas tanggungjawab besar untuk mengembalikan kerusi Parlimen Temerloh kepada PH demi rakyat.
“Tambahan pula, PKR merupakan parti yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dalam usaha untuk mengekalkan kepimpinan beliau pada penggal akan datang, adalah wajar PKR diberi peluang untuk bertanding di lebih banyak kerusi, khususnya Parlimen Temerloh.
“PKR Cabang Temerloh bersedia menggalas amanah ini pada PRU16. Dengan sokongan akar umbi yang kuat dan pengalaman luas, kami yakin PKR mampu mengembalikan kerusi Temerloh kepada PH demi kepentingan rakyat dan masa depan negara,” katanya.
Terdahulu, Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Temerloh PKR pada Isnin lalu sebulat suara meluluskan usul agar parti itu menerajui kerusi Parlimen Temerloh pada PRU16 akan datang.
Susulan itu, Ketua Amanah Pahang, Mohd. Fadzli Ramly dilaporkan berkata, parti itu tetap mahu meletakkan calon untuk kekal bertanding di Parlimen Temerloh bagi mewakili PH dan kerajaan perpaduan pada PRU16.
Ini kerana katanya, kawasan itu merupakan kerusi tradisi Amanah dan parti itu pernah memenanginya pada PRU14, sebelum tewas kepada Perikatan Nasional (PN) pada PRU15. – UTUSAN










