KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju memperuntukkan sebanyak RM30 juta kepada organisasi media di negara ini bagi membolehkan transformasi digital dalam bidang kewartawanan dilakukan.
Peruntukan itu juga disifatkan sebagai bantuan terbesar oleh kerajaan kepada wartawan dalam sejarah sejak merdeka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan peruntukan itu berkata, keputusan berkenaan diambil selepas beliau membincangkan perkara tersebut dengan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Pada masa sama, katanya, beliau menyedari bahawa tuntutan perubahan dalam dunia kewartawanan itu perlu dan beliau bertanggungjawab untuk memastikan mutu penghasilan wartawan lebih baik.
“Saya setuju untuk memperuntukkan satu dana yang relatif besar membantu organisasi media dalam negara umumnya dengan apa juga cara, transformasi digital itu berlaku dengan bantuan kerajaan.
“Latihan dan pendedahan kepada wartawan khususnya yang muda supaya dunia kewartawanan tidak ketinggalan dalam usaha mengejar kecerdasan buatan (AI) di samping menjamin keseimbangan AI dengan etika,” katanya selepas merasmikan Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 di sini, semalam.
Turut hadir, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Pengarah Urusan Media Mulia Sdn. Bhd., Azlan Jaafar.
Pada Majlis Kemuncak HAWANA 2025 yang bertemakan “Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika”, Perdana Menteri turut menyampaikan Anugerah Khas HAWANA 2025 dan Anugerah HAWANA 2025 kepada tokoh wartawan sebagai penghargaan atas sumbangan serta dedikasi dalam bidang kewartawanan.
Sumbangan Tabung Kasih@HAWANA juga disampaikan kepada tiga wartawan veteran yang diuji masalah kesihatan dan hadiah kepada pemenang Pertandingan Pesta Pantun HAWANA-DBP 2025.
Sementara itu, gambar hasil kerja jurufoto Utusan Malaysia mendapat tempat pada pameran HAWANA 2025.
Gambar yang memaparkan hasil kerja Ketua Media Mulia Studio, Aswad Yahya menampilkan fenomena bulan purnama atau ‘supermoon’ yang biasanya berlaku sekali pada setiap bulan.
Kedudukannya yang dirakamkan di tengah-tengah Menara Berkembar Petronas memberikan keunikan tersendiri dengan kedua-dua menara itu dipancarkan cahaya mewakili Jalur Gemilang dan bendera Brunei Darussalam.
Gambar diambil bersempena lawatan negara Sultan Hassanal Bolkiah ke Malaysia pada 3 Ogos 2023.
Sementara itu, gambar jurufoto Fariz Rusadio pada 1 November 2022 pula memaparkan seorang ibu tunggal, Azimah Abd Rahim, 37, tidak mempunyai pilihan selain membawa anaknya, Nurainul Zahirah Rashidi, 6, Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan kekal, ketika bekerja sebagai penghantar makanan di ibu negara. – MINGGUAN










