PETALING JAYA: Sebanyak 38,700 pek daging korban hasil sumbangan rakyat Malaysia akan diagihkan kepada penduduk miskin di Malawi melalui kempen Rezeki Qurban anjuran Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) tahun ini.
Pengagihan daging tersebut dijangka memberi manfaat kepada lebih 193,500 isi rumah di tiga kawasan utama iaitu Blantyre, Mangochi dan Balaka, menjadikan ia antara jumlah korban terbesar pernah direalisasikan oleh organisasi itu di negara Afrika tersebut.
IR Malaysia buat pertama kalinya menghantar dua wakil ke Blantyre bagi melaksanakan misi pemantauan dan penilaian lapangan dari 3 hingga 11 Jun ini bagi memastikan pelaksanaan ibadah korban berjalan mengikut syariat Islam dan piawaian antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif IR Malaysia, Siti Fadilah Mohd. Hood berkata, misi itu memberi peluang kepada pasukan organisasi menyaksikan sendiri perjalanan penuh pelaksanaan korban bermula dari pemilihan haiwan hingga proses pengagihan kepada penerima manfaat.
“Tahun ini, sebanyak 15,050 bahagian korban dilaksanakan oleh pejabat lapangan Islamic Relief di Malawi dan daripada jumlah itu, sebanyak 300 bahagian merupakan sumbangan rakyat Malaysia melalui kempen Rezeki Qurban.
“Komuniti Muslim di Malawi adalah kelompok minoriti yang hidup dalam serba kekurangan, dan kita amat bersyukur kerana sumbangan rakyat Malaysia berupaya membawa perubahan besar kepada kehidupan mereka terutama menjelang sambutan Aidiladha,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut menjelaskan, misi pemantauan adalah langkah penting bagi memastikan ketelusan dan amanah para penyumbang ditunaikan dengan penuh integriti serta menyumbang kepada usaha penambahbaikan pelaksanaan di masa hadapan.
Misi tersebut diketuai oleh Pengurus Bahagian Program IR Malaysia, Fa’azurah Kadir yang memaklumkan bahawa tumpuan utama diberikan kepada keseluruhan proses korban termasuk penyembelihan, melapah, membungkus dan agihan daging.
Menurutnya, misi turut membawa mandat untuk menilai beberapa projek pembangunan lain seperti penajaan anak yatim, projek air dan sanitasi serta program ekonomi komuniti, sekali gus memperluaskan peluang tajaan pada masa akan datang.
“Selama ini kita hanya menerima laporan daripada pejabat lapangan. Tahun ini, kita sendiri turun ke lokasi bagi menyaksikan kesan sebenar sumbangan rakyat Malaysia terhadap penerima yang sangat memerlukan,” katanya.
Misi tersebut turut disertai Ahli Lembaga Pemegang Amanah IR Worldwide dan IR Malaysia, Nurhayati Hassan, sebagai tanda komitmen berterusan IR Malaysia dalam memastikan kebertanggungjawaban organisasi kepada setiap penyumbang.
Kempen Rezeki Qurban merupakan inisiatif tahunan IR Malaysia yang membuka ruang kepada umat Islam di negara ini untuk menunaikan ibadah korban di kawasan-kawasan bergolak, berdepan kemiskinan, krisis makanan dan bencana kemanusiaan. – UTUSAN









