BANGKOK: Parti Bhumjaithai Thailand, yang berundur daripada gabungan kerajaan minggu lalu, mengumumkan akan mengemuka usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra dan barisan Kabinet beliau.
Usul yang dijadualkan dibentang minggu depan itu, akan menjadi ujian pertama di Parlimen buat Paetongtarn, 38, sejak berdepan tekanan hebat berhubung cara beliau menguruskan pertikaian sempadan dengan Kemboja, sehingga menyebabkan kerajaan pimpinan Parti Pheu Thai hampir kehilangan majoriti.
Paetongtarn turut berdepan semakan kehakiman selepas sekumpulan senator memfailkan petisyen kepada Mahkamah Perlembagaan dan badan antirasuah kebangsaan bagi menyiasat kelakuan beliau.
Kumpulan antikerajaan juga dilaporkan akan melancarkan tunjuk perasaan bermula 28 Jun ini bagi mendesak beliau meletakkan jawatan.
Parti Bhumjaithai yang mempunyai 69 kerusi Parlimen bertindak menarik sokongan terhadap kerajaan pada 18 Jun lalu, dengan alasan kedaulatan dan maruah negara terancam susulan kebocoran rakaman panggilan telefon antara Paetongtarn dan bekas Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen.
Dalam panggilan itu, Paetongtarn dilaporkan tunduk dan memohon maaf kepada Hun Sen sambil mengkritik seorang pegawai kanan tentera Thailand, tindakan yang dilihat melampaui batas dalam negara yang memberi kedudukan tinggi kepada institusi ketenteraan.
Sebelum ini, Paetongtarn menegaskan gabungan pemerintah kekal kukuh dan kerajaan memuktamadkan rombakan Kabinet serta meluluskan projek infrastruktur bernilai AS$3.5 bilion (RM16.5 bilion) bagi merancakkan ekonomi negara yang perlahan.
Paetongtarn, yang juga anak kepada bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra turut menolak spekulasi beliau akan mengambil alih portfolio Kementerian Pertahanan, meskipun ketegangan dengan Kemboja semakin memuncak.
Isnin lalu, tentera Thailand mengumumkan penutupan semua pintu sempadan darat ke Kemboja di tujuh wilayah sempadan kepada pelancong, peniaga dan orang awam atas alasan keselamatan susulan pertikaian sempadan yang berlarutan sejak beberapa dekad lalu.
Ketegangan terbaharu tercetus selepas insiden tembakan pada Mei lalu, menyebabkan seorang askar Kemboja terbunuh dan sejak itu, kedua-dua negara melaksanakan pelbagai tindakan balas termasuk keputusan Kemboja menggantung semua import bahan api dari Thailand.- AGENSI










